Usahawan mikro, B40 tak terkecuali terima bantuan Insken, AIM

Usahawan mikro, B40 tak terkecuali terima bantuan Insken, AIM

SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti Program Urus Tunai anjuran Insken.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usahawan mikro dan golongan B40 tidak akan terkecuali menerima bantuan daripada Institut Keusahawanan Negara (Insken) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ini kerana kedua-dua agensi itu yakin dan percaya bahawa usaha untuk membantu usahawan tersebut dapat memberi impak yang lebih besar sekiranya ia mendapat kerjasama serta sokongan dari pelbagai pihak melalui jalinan kolaborasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, usaha membantu usahawan itu memerlukan kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak dan hasilnya ternyata akan lebih baik.

Justeru, katanya, kolaborasi antara Insken dan AIM itu wajar dijadikan contoh dan perlu diperbanyakkan lagi agar lebih ramai dapat menerima bantuan daripada kerajaan khususnya golongan B40 dan usahawan mikro.

“Kolaborasi antara Insken dengan AIM ini terbahagi kepada dua kategori iaitu melalui penganjuran program latihan dan program bimbingan. Program latihan yang dijalankan adalah seperti Hasilkan Video Pemasaran Media Sosial Dengan Smartphone, Pemasaran e-Marketplace Shopee dan Lazada serta banyak lagi.

“Manakala program bimbingan adalah melalui Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Noh, sehingga Ogos lalu, sebanyak 40 program latihan dan 17 program bimbingan dilaksanakan yang memberi manfaat kepada 1,496 usahawan daripada AIM.

Katanya, selain program latihan dan bimbingan, kolaborasi di antara dua agensi ini turut berjaya melaksanakan Seminar Urus Tunai yang dijalankan di Siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM).

“Sehingga hari ini, 10 Seminar Urus Tunai telah dilaksanakan yang memanfaatkan 1796 usahawan. Konsultasi perniagaan turut diberikan kepada usahawan AIM melalui Program Insken BizClinic,” ujarnya.

Sejak awal tahun ini, Insken berjaya menjalankan 67 kolaborasi strategik melalui pelaksanaan program bimbingan serta latihan kepada usahawan mikro yang berada di bawah kawal selia AIM dengan 3292 usahawan mikro dilatih serta dibimbing Insken sehingga Ogos 2022.

MUHD. FIRDAUS AZHARUDDIN

Kedua-dua agensi di bawah KUSKOP itu juga komited untuk terus menghulurkan bantuan kepada usahawan melalui pelbagai program latihan serta bimbingan yang dirancang serta akan dilaksanakan pada tahun 2022.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, Insken sudah menjalankan pelbagai kolaborasi rentas agensi dan kementerian sejak dahulu lagi.

Oleh itu, katanya, kolaborasi antara Insken dengan AIM ketika ini menunjukkan impak yang besar kerana lebih ramai usahawan mikro mendapat manfaat daripada segi ilmu keusahawanan bagi meneruskan kelangsungan serta memajukan perniagaan mereka.

“Kolaborasi strategik seumpama ini mampu memantapkan ekosistem keusahawanan negara kerana setiap agensi akan dapat menggunakan sepenuhnya kepakaran serta peranan yang diberikan.

“Sebagai contoh, INSKEN merupakan pelaksana program latihan dan bimbingan keusahawanan manakala AIM mempunyai ribuan usahawan mikro yang perlu diberikan suntikan ilmu.

“Justeru, kerjasama antara agensi diperlukan untuk memenuhi jurang tersebut bagi mencapai matlamat yang sama iaitu membantu usahawan memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Hasil kolaborasi kedua-dua agensi itu juga akan dapat diukur melalui peningkatan hasil jualan peserta yang menyertai Program IBBC.

Ia dijangka akan diumumkan setelah kesemua peserta program tersebut tamat menjalani bimbingan selama empat bulan pada tahun ini.

Sehingga hari ini, Insken masih mengalu-alukan lebih banyak agensi atau kementerian untuk menjalinkan kerjasama agar lebih ramai usahawan di Malaysia dapat dibantu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya