TASEK GELUGOR: Usahawan luar bandar perlu melengkapkan diri dengan kemahiran digital bagi menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif ketika ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi memastikan proses ‘peralihan’ iaitu penguasaan kepada kemahiran digital itu berjaya, usahawan tersebut digalakkan menghadiri latihan serta program peningkatan kemahiran berkenaan supaya produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian pelanggan.
Kata Mahdzir, beralih kepada pemasaran secara digital kini adalah norma baharu dalam perniagaan, namun memasarkan produk di media-media sosial sahaja tanpa strategi serta kemahiran yang betul mungkin tidak akan memberi impak berkesan.
“Untuk itu, KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) telah menyediakan banyak kursus dan bimbingan digital bagi membantu usahawan luar bandar dalam memasar, menambah baik mutu dan kualiti produk sebagai persedian memulakan perniagaan dalam talian termasuk menyediakan platform seperti DesaMall@KPLB,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan ekspo anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Utara (Perda) atau dikenali sebagai Expert 2022 di Dataran Transformasi Usahawan, Midtown Perda di Kubang Menerong di sini, malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Perda, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq
Ekspo yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu itu melibatkan seramai 186 usahawan dalam pelbagai bidang termasuk makanan, pakaian, kosmetik, peralatan rumah dan sebagainya.
Dalam pada itu Mahdzir berkata, Expert menyasarkan nilai jualan serta pemerolehan kontrak bernilai RM1 juta selain merekodkan kehadiran lebih 40,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung.
“Expert juga diwujudkan bagi tujuan meningkatkan penyertaan usahawan dalam pelbagai bidang ekonomi dengan menghimpunkan pelbagai sektor dan peringkat di dalam satu ekspo sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan produk usahawan atau peluang pekerjaan.
“Kita berharap Expert ini akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya pada masa akan datang,” katanya yang memberitahu, sehingga kini Perda melahirkan seramai 1,365 usahawan dengan lebih 200 daripadanya berjaya memiliki kilang atau premis perniagaan sendiri.- UTUSAN