JERLUN: Tindakan kepemimpinan UMNO yang mahu supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada musim banjir adalah helah untuk memastikan tidak ramai pengundi yang dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mendakwa, keadaan itu disebabkan UMNO sedar bahawa sokongan rakyat tidak lagi menyebelahi mereka.
Menurutnya, UMNO juga sedar bahawa peluang mereka untuk menang adalah lebih tinggi sekiranya jumlah pengundi hanya berada di bawah 60 atau 50 peratus.
“Apabila jumlah yang keluar mengundi rendah, peluang untuk UMNO menang kian tinggi dan itu terbukti berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Di Johor, kira-kira 45 peratus tidak keluar mengundi manakala sebahagian mereka pula tidak mengundi UMNO serta Barisan Nasional (BN).
“Tetapi masalahnya pembangkang berpecah dan UMNO dapat bentuk kerajaan hanya dengan 30 peratus yang mengundi mereka. Jadi dalam PRU akan datang, mereka nak gunakan formula sama iaitu di waktu orang tak keluar mengundi.
“Pada masa itu, mereka akan kerah penyokong tegar yang mungkin boleh cukupkan 30 peratus untuk menang pilihan raya. Oleh itu, janganlah kita termakan dakyah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya pembangkang takut berdepan PRU, walhal beliau mahu buat PRU sewaktu orang tak ramai dan berharap menang pada masa itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ‘Jom Mengemping’ di Kampung Megat Dewa di sini, hari ini.
Ahmad Zahid ketika melancarkan Jentera Pemuda BN baru-baru ini dilaporkan berkata, BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini dan turut menyifatkan isyarat diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata. – UTUSAN