BARCELONA: Pasukan koir Universiti Teknologi Mara (UiTM), UiTM Chamber Choir (UCC), sekali lagi mencipta sejarah apabila menyapu bersih kejuaraan yang dipertandingkan di Festival dan Pertandingan Koir Antarabangsa Pablo Casals Ke-11 di Lloret de Mar, Barcelona.
UCC berjaya mencatatkan markah tertinggi sekali gus memenangi tempat pertama dalam ketiga-tiga kategori yang disertai iaitu 100 markah dalam kategori ‘Folklore’, 99.3 markah dalam kategori ‘Mixed Voice’, dan 97.8 markah dalam kategori ‘Pablo Casals’.
Pasukan yang dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Masashi Kishimoto itu turut mendapat muncul juara keseluruhan ‘Grand Prize’ di pertandingan tersebut melalui undian daripada juri.
Dengan kemenangan tersebut, pasukan koir yang ditubuhkan pada tahun 2015 itu mengulangi kejayaan pada tahun 2017 di Prague dengan menewaskan 16 pasukan koir yang lain untuk merangkul piala tersebut.
Kemenangan yang membanggakan itu membuatkan anggota pasukan koir menangis kegembiraan setelah lapan bulan menjalani latihan tanpa henti dan turut mengorbankan cuti semester mereka.
Pada 18 September lalu, UCC berlepas ke Barcelona dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyertai dua pertandingan di peringkat antarabangsa yang berlangsung di Sepanyol dan Itali.
UCC yang dianggotai 23 mahasiswa itu kini berlepas ke Grado, Itali untuk menyertai satu lagi pertandingan koir peringkat antarabangsa iaitu pertandingan koir Isola Del Sole.
Turut serta bersama pasukan koir adalah dua pensyarah iaitu Maryann Magdalena Linnis yang juga menyanyi bersama koir dan Prof. Tazul Izan Tajuddin yang mengiringi kumpulan.
Sebelum ini, UCC telah mencipta banyak kemenangan di peringkat antarabangsa seperti di Bali, Indonesia (2015), Prague, Greece (2017), Rome, Itali (2018) dan terbaru di Toruń, Poland dan Wernigerode, Jerman (2019). – UTUSAN