Ugut pengusaha rumpai laut: Kerajaan perlu ambil tindakan serius - Utusan Malaysia

Ugut pengusaha rumpai laut: Kerajaan perlu ambil tindakan serius

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menggesa kerajaan mengambil serius dakwaan anggota keselamatan negara yang dikatakan merompak dan mengugut pengusaha rumpai laut di Semporna baru-baru ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, berita yang diterima amat mengejutkan apatah lagi, apabila ia dikatakan membabitkan sekumpulan anggota keselamatan.

Beliau berkata, kejadian itu difahamkan berlaku di perairan Semporna dan mangsa merupakan pengusaha rumpai laut yang sedang dalam perjalanan untuk menjual hasil laut berdekatan Pulau Siamil.

“Sekiranya benar apa yang dilaporkan kepada saya maka, sangat mendukacitakan apabila pasukan keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam kini menjadi dalang dan pelaku kepada aktiviti jenayah. Apa sudah jadi dengan sistem keselamatan kita?” Soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohd. Shafie yang juga Presiden Parti Warisan berkata, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pertahanan meletakkan aset-aset pertahanan dan juga kelengkapan keselamatan negara di tempat-tempat tumpuan pelancongan seperti di Semporna.

Menurut beliau, aset-aset penting bagi menjaga keselamatan negara tidak seharusnya ditempatkan di lokasi yang jauh dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi tumpuan, sekiranya berlaku kecemasan.

Katanya, setiap tahun, kerajaan memperuntukkan bajet berbilion ringgit bagi tujuan pertahanan dan juga keselamatan negara.

“Saya sedar dan tahu bahawa kos untuk membina, membeli serta memiliki aset-aset keselamatan ini mahal. Namun, kita perlu meletakkan aset-aset keselamatan ini di kawasan tumpuan dan kerap berlakunya pencerobohan dan juga rompakan.

“Justeru, saya harap Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil serius perkara ini dan jangan kompromi apabila ia melibatkan keselamatan rakyat.

“Kedaulatan negara harus sentiasa dijaga dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya