ISKANDAR PUTERI: Festival Majestic Johor (FMJ) 2022 di Puteri Harbour, di sini terus menjadi tumpuan pengunjung kerana menyajikan pelbagai aktiviti menarik.
Antara yang sering dikerumuni orang ramai khususnya bagi ‘kaki jalan dan kaki makan’ ialah gerai Tourism Johor.
Ini kerana para pengunjung bukan sahaja boleh mendapatkan informasi terkini tentang pelbagai destinasi pelancongan dan lokasi makanan yang popular di Johor, malah berpeluang memenangi hadiah disediakan.
Seorang petugas di gerai berkenaan, Nur Aisyah Syahmienna Mohd. Razip berkata, selain mengedarkan risalah, Tourism Johor menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada para pengunjung.
“Di gerai Tourism Johor ada menyediakan permainan putar dan menang di samping pelbagai cenderamata dan risalah-risalah pelancongan khusus di negeri Johor.
“Tourism Johor turut menyediakan hadiah berupa power bank, buku nota, kipas, tuala muka, pemegang kunci, pemegang kad dan beberapa hadiah menarik untuk diberikan kepada para pengunjung yang berjaya membuat putaran serta memenangi hadiah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebagai pusat penerangan pelancongan, sudah semestinya Tourism Johor menyediakan pelbagai informasi tentang destinasi yang menarik untuk dikunjungi oleh orang ramai yang terdapat di negeri ini.
FMJ 2022 yang bermula 8 hingga 18 September ini disasarkan dapat menarik antara 500,000 hingga 700,000 pengunjung dalam dan luar negara.
Sebanyak 25 agensi kerajaan dan swasta menyertai pameran, 150 gerai jualan makanan dan minuman serta 80 gerai yang menjual pelbagai barangan keperluan, termasuk dari Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Festival anjuran kerajaan negeri menerusi Tourism Johor ini turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), UEM Sunrise dan Iskandar Puteri Tourism Action Council (IPTAC). – UTUSAN