MELAKA: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menumbuk muka isterinya, Julai lalu.
Tindakan itu dilakukan tertuduh dipercayai akibat berang selepas si isteri yang telah lama menghilangkan diri muncul kembali untuk menuntut penukaran pemilikan harta.
Tertuduh, Roslan Kamis, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Mazlena Md. Ali, 47, dengan cara memukul di bahagian muka sebelah kiri dan tangan sebelah kanan menggunakan tangan.
Tindakan itu didakwa dilakukan pada pukul 10.45 pagi di Taman Tanjung Jaya, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Julai 2022.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Difahamkan, pergaduhan itu berlaku apabila mangsa yang menghilangkan diri selama tiga tahun tiba-tiba muncul di kediaman tersebut dan meminta tertuduh membuat penukaran pemilikan harta.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM9,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga prosiding selesai.
Bagaimanapun, peguam N. Gunalan yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri dan menanggung tiga anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN