Tiada ahli UMNO sertai DAP Parit - Utusan Malaysia

Tiada ahli UMNO sertai DAP Parit

SAARANI Mohamad (kiri) mendengar aduan rakyat pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: UMNO Perak mengesahkan tiada ahlinya menyertai DAP Cawangan Parit yang dikatakan akan ditubuhkan di Parlimen tersebut.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya percaya cawangan DAP tersebut ditubuh dan disertai orang Melayu yang tidak pernah terlibat dengan mana-mana parti sebelum ini.

“Saya percaya yang dikatakan menubuhkan DAP itu bukan datang daripada UMNO, bermakna orang Melayu yang belum berparti.

“Mereka barangkali memilih parti yang bukan UMNO dan orang Melayu itu dia memilih untuk menubuh parti DAP,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Stadium Indera Mulia di Ipoh di sini hari ini.

Ditanya sama ada penubuhan DAP Cawangan Parit akan memberi saingan kepada UMNO Bahagian Parit, Saarani berkata, beliau melihat ia sebagai sebuah persaingan yang sihat.

Katanya, negara mengamalkan sistem demokrasi dan sesiapa sahaja berhak menubuhkan parti di mana-mana lokasi termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kewujudan DAP cawangan Parit yang disertai orang Melayu itu juga bakal mendorong ahli UMNO bahagian tersebut untuk bekerja lebih kuat.

“Parti-parti ini lagi bersaing lagi bagus, kalau tidak orang Parit akan tidur kalau tidak ada persaingan dan apabila ada saingan orang UMNO Parit akan bekerja lebih kuat,” katanya.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan DAP Perak dikatakan dalam proses untuk menubuhkan cawangan parti itu di Parit, kawasan Parlimen yang majoriti­nya pengundi Melayu. 

Sumber berkata, lebih daripada 300 orang telah mengambil borang keahlian dan setakat ini lebih 200 borang dikembalikan untuk menyertai parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kemudiannya mengesahkan parti itu akan menubuhkan cawangan di Parit di Perak Tengah, kawasan pengundi majoriti Melayu.

Katanya, DAP Cawangan Parit akan diketuai orang Melayu kerana semua ahlinya terdiri daripada ahli Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya