ALOR SETAR: Kajian dijalankan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) mendapati terdapat dua isu utama gangguan bekalan air di negeri ini iaitu pengguna terputus bekalan dan tekanan air rendah.
Menurut kenyataan SADA, jumlah peratusan pengguna yang berdepan masalah terputus bekalan air hanyalah 0.35 peratus sahaja daripada keseluruhan 635,000 akaun berdaftar, manakala kira-kira lima peratus akaun berdepan isu tekanan air rendah.
“Bagi mengurangkan beban pengguna yang terjejas, penghantaran lori tangki secara berjadual dilaksanakan pada masa ini selaras dengan kehendak peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 54(3), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu SADA bertanggungjawab memastikan kelangsungan bekalan air terawat kepada pengguna.
“Pada masa sama, kerja-kerja mengesan paip pecah di sistem agihan giat dijalankan mengikut kaedah kawalan kebocoran aktif (ALC) secara menyeluruh bagi mengesan kes kebocoran paip,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor perlu bersikap lebih tegas dan serius terhadap rungutan rakyat berkaitan krisis air di Kedah daripada terus-menerus melindungi SADA serta mempertahan kelemahan syarikat itu.
Mengulas lanjut SADA memaklumkan, masalah air tidak terhasil (NRW) merupakan punca utama kepada kekurangan bekalan air di Kedah dengan sistem paip agihan dan retikulasi yang lama menyumbang kepada peningkatan jumlah peratusan NRW berkenaan.
Sejak 2020 hingga 2023 katanya, kerajaan negeri melalui SADA memperuntukkan RM73 juta bagi kerja-kerja penggantian paip lama dan usang di kawasan-kawasan ‘hotspot’ melalui Program NRW Nasional Pendekatan 1- Kedah dan Program NRW Nasional Pendekatan 1-Langkawi.
“Kerajaan negeri melalui SADA sedang dalam fasa akhir untuk melaksanakan Program NRW Holistik – Kedah. Kita juga akan menjalin kerjasama dengan pihak swasta untuk menurunkan peratusan NRW itu.
“Model pelaksanaan ini adalah yang pertama di Malaysia. Program ini dijangka bermula pada Januari 2023 dengan sasaran ditetapkan adalah menurunkan kadar NRW negeri daripada 50 peratus kepada 25 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang,” katanya.
Selain itu kenyataan tersebut memaklumkan, sebanyak RM930 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri sebagai kos menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) di Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Lubuk Buntar Lama dan Sungai Limau.
“Secara keseluruhan, naik taraf lima LRA itu akan meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran bekalan air terawat sebanyak 378 juta liter sehari (MLD). Jabatan Kerja Raya yang dilantik sebagai badan pelaksana projek menjangkakan lima LRA tersebut akan siap dinaik taraf pada 2023 dan 2024.
“Naik taraf lima LRA tersebut akan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di kawasan yang sudah lama terjejas. Sebagai contoh, LRA Pelubang selesaikan masalah gangguan bekalan air di Kuala Kedah, Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam dan Padang Sanai manakala LRA Jenun Baru selesaikan masalah gangguan bekalan air di pendang, Gurun dan Yan,” katanya. –UTUSAN
Dalam pada itu katanya, terdapat 10 lagi projek bekalan air terawat sedang dan akan dibangunkan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di negeri ini.
“Antaranya adalah projek meningkatkan sistem pengepaman di Padang Mat Sirat di Langkawi, pembaikan paip dasar laut sedia ada dari tanah besar ke Langkawi, naik taraf LRA Jenun Lama dan Jeniang Baru serta projek bekalan air luar bandar (BALB) di beberapa kawasan,” katanya. –UTUSAN