Terowong kereta api Bukit Besi bakal lenyap

Terowong kereta api Bukit Besi bakal lenyap

KEADAAN kawasan salah sebuah terowong kereta api sebelum ditimbus dengan timbunan bijih besi di Bukit Besi, Dungun, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi dekat sini yang didakwa dilakukan secara rakus dibimbangi memusnahkan artifak bersejarah terowong kereta api yang dibina di kawasan tersebut pada tahun 1930.

Setakat ini, kira-kira lima terowong tersebut lenyap sejak aktiviti perlombongan bijih besi dibuka semula di kawasan itu pada 2010 setelah ditutup pada 1971.

Terowong kereta api itu dibina oleh syarikat perlombongan dari Jepun, Kuhara Mining Limited untuk kerja-kerja mengangkut bijih besi ke tempat memproses bahan galian itu yang terdapat di kawasan tersebut sebelum dieksport ke beberapa buah negara.

Selain itu, beberapa artifak lain juga turut musnah seperti landasan kereta api dan beberapa binaan tempat memproses bijih besi.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Wan Mohd. Rosli Wan Ngah berkata, salah sebuah terowong kereta api yang berusia 92 tahun itu baru tertimbus pada awal tahun ini apabila kawasan berbukit di tapak te­rowong tersebut dijadikan tempat simpanan bijih besi.

Menurutnya, pada masa ini, terdapat dua buah lagi terowong bersejarah yang masih tersergam di tapak bekas perlombo­ngan bijih besi terbesar di Asia Tenggara pada abad ke-20 itu.

Bagaimanapun, pihaknya percaya dua terowong itu juga bakal lenyap sedikit masa lagi sekiranya aktiviti perlombo­ngan tersebut tidak dikawal oleh kerajaan negeri.

“Tapak lombong bijih besi di Bukit Besi itu mempunyai ba­nyak artifak dan warisan yang menjadi lambang keagungan sejarah peninggalan zaman ke­gemilangan perlombongan bijih besi pada suatu masa dahulu.

“Namun, syarikat perlombongan dipercayai dari luar negara yang menjalankan aktiviti di lokasi tersebut didapati memusnahkan satu persatu binaan terowong kereta api itu dengan sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Besi di sini, semalam.

 

Wan Mohd. Rosli memberitahu, pihaknya percaya struktur binaan terowong tersebut akan ranap selepas ditimbus de­ngan bijih besi dan tidak dapat dipulih­kan semula selepas ini.

“Terowong kereta api sepanjang kira-kira 50 meter itu sebelum ini boleh diterokai oleh pengunjung dan mempunyai nilai komersial yang tinggi serta merupakan aset berharga dari aspek sejarah, pelancongan dan ekonomi,” ujarnya.

Katanya, selain itu, di tapak perlombongan itu juga terdapat binaan lain seperti crushing plant (pemecah bijih besi) dan terowong gerabak.

“Semua artifak bersejarah itu sepatutnya dipertahankan dan dipulihara dengan baik untuk dijadikan untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Pihaknya sebelum ini membuat laporan mengenai kemusnahan artifak tersebut kepada Lembaga Tabung Amanah Wa­risan Negeri Terengganu serta Jabatan Tanah dan Galian (PTG) Terengganu tetapi tiada tindakan drastik diambil oleh pihak berkenaan untuk memantau dan mengawasi aktiviti perlombo­ngan yang merosakan artifak bersejarah itu.

Pihaknya menggesa kerajaan negeri mewartakan zon penampan di kawasan artifak itu untuk mengelakkan berlaku kerosakan dan kemusnahan yang lebih teruk terhadap bahan-bahan bersejarah tersebut.

Jelasnya, jarak zon penampan yang perlu diwartakan adalah sejauh 50 meter dari kawasan perlombongan dan dipasang pagar bagi mengelak pencerobohan. Pengerusi Koperasi Komuniti Bukit Besi Dungun Berhad, Roslan

Taib, 60, berkata, pihaknya kecewa apabila terdapat artifak menarik di tapak perlombangan itu yang berpotensi dimajukan sebagai pusat pelancongan di negeri ini telah musnah akibat aktiviti perlombongan yang dijalankan sekarang tidak dikawal oleh pihak berkuasa terlibat.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya