Tercalon atau tidak, Syed Abu Hussin tetap tanding Bukit Gantang, DUN Trong - Utusan Malaysia

Tercalon atau tidak, Syed Abu Hussin tetap tanding Bukit Gantang, DUN Trong

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tengah) pada sidang akhbar program sambutan Hari Malaysia dan penyerahan bantuan tong ikan berinsulasi di Jeti Sungai Kerang, Sungai Tinggi di Bukit Gantang. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Dipilih atau tidak oleh parti sebagai calon, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tetap akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mengumumkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong di bawah Parlimen Bukit Gantang.

“Walau apa pun yang terjadi, saya tetap akan bertanding di kawasan ini sekiranya tiada calon yang sesuai dan layak. Saya boleh bagi laluan kepada calon yang lebih baik daripada saya untuk bertanding di sini namun apa yang diketahui setakat ini saya adalah calon yang terbaik untuk kawasan ini.

“Saya telah memberi perkhidmatan dengan baik dan juga jentera yang cukup lengkap untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Malaysia dan penyerahan bantuan tong ikan berinsulasi di Jeti Sungai Kerang, Sungai Tinggi dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, beliau telah menggerakkan jentera pilihan raya tanpa mengira siapa yang akan bertanding.

Katanya, beliau menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat tetapi jika ada calon yang lebih baik, perkara itu perlu dirundingkan.

“Jika ada calon yang dirasakan lebih baik, datang berunding dan berbincang elok-elok maka kita boleh buat keputusan bersama. Saya nak mengelak Parlimen Bukit Gantang ini terlepas ke tangan parti yang tidak memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat di seluruh Parlimen ini,” katanya.

Menurutnya, keputusannya bertanding kerusi DUN ialah untuk membantu menyelesaikan isu rakyat yang berkait dengan pentadbiran peringkat negeri.

“Banyak isu-isu negeri yang saya tidak boleh nak bantu, isu-isu tanah melibatkan Pejabat Daerah, Ahli Parlimen tidak boleh nak bantu. Jadi sekiranya saya bertanding di dua kerusi itu sekali gus, saya boleh membantu, apatah lagi DUN Trong terletak di luar bandar, jadi rakyat di sini memerlukan bantuan dan perhatian yang perlu diutamakan,” katanya.

Parlimen Bukit Gantang menjadi rebutan antara Pas dan Bersatu malah Pas secara terbuka menolak Syed Abu Hussin sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad sebelum ini berkata, sekiranya Syed Abu Hussin dicalonkan, Pas membawa perkara itu ke peringkat pimpinan parti dalam PN.

Katanya, Syed Abu Hussin yang menang PRU-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) dan kemudian menyertai Bersatu tidak layak bertanding di kerusi itu kerana meninggalkan partinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya