IPOH: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum mengadakan perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun Perdana Menteri telah memberikan bayangan ia diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, begitupun umum sedia maklum PRU15 sudah terlalu hampir untuk diadakan.
“Setakat ini tak ada perbincangan (dengan Perdana Menteri) tetapi again semua orang tahu, tak payah Perdana Menteri, tak payah tanya saya, we know election is very near.
“Memang pilihan raya dah dekat, tempoh lima tahun itu dah hampir matang kalau pun disambung sehingga penghujung pun tak lama lagi dari sekarang,” katanya ketika ditemui pada Karnival Sukan Moh Kome di Kampung Chandak, Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk menghadapi PRU15.
“Kami menjalinkan hubungan yang baik dalam kalangan parti-parti komponen dan kami bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat.
Tanpa menyebut tarikh sebenar, beliau hanya memaklumkan ‘sedikit lagi, tidak lama lagi’.
“Bila tarikh tarikhnya? Saya dan Presiden akan bincang. Sikit lagi, tidak lama lagi,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur. – UTUSAN