Tapak pelupusan tutup, ganggu jadual kutipan sampah

Tapak pelupusan tutup, ganggu jadual kutipan sampah tiga daerah di NS

TEO Kok Seong dalam sidang akhbar di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Operasi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Ladang Tanah Merah (LTM) di Jimah, Port Dickson terpaksa dihentikan bermula 29 Ogos lalu susulan kolam takungan sisa pepejal di situ pecah sehingga menjejaskan jadual kutipan sampah di tiga buah daerah. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas operator tapak pelupusan berkenaan. 

“SWM Environment selaku syarikat konsesi bagi kutipan sisa pepejal telah diarahkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk menghantar semua sisa pepejal domestik dari kawasan Seremban, Nilai dan Port Dickson yang mencecah 700 tan sehari ke dua tapak pelupusan lain buat sementara waktu. 

“Sisa berkenaan akan dihantar ke Tapak Pelupusan Ulu Maasop, Senaling di Kuala Pilah dan Tapak Pelupusan Sungai Muntoh, Jelebu yang masing-masing terletak lebih kurang 100 kilometer dari Tapak Pelupusan LTM,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kok Seong berkata, pihak konsesi menerima pelbagai maklum balas mengenai keresahan penduduk dan pengguna jalan raya yang meminta kerajaan negeri supaya mengambil tindakan segera kesan daripada penutupan sementara operasi LTM

“Jarak kedua-dua tapak pelupusan berkenaan yang jauh mungkin menyebabkan jadual kutipan sisa pepejal terganggu, selain bentuk muka buminya yang berbukit memberi cabaran kepada jentera RoRo yang mana turut membahayakan keselamatan pemandu,” katanya. 

Jelas beliau, kolam takungan yang pecah itu menyebabkan berlakunya tumpahan air larut (leacheate) dan mencemarkan Sungai Anak Air Unyai sehingga menghasilkan air berwarna hitam dan berbau. 

“Satu perbincangan diadakan semalam yang mana pihak operator akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah leacheate selain operator memaklumkan fasiliti Waste To Energy (WTE) dijangka akan beroperasi pada pertengahan bulan ini,” katanya. 

Tambah beliau, dengan penghasilan sisa pepejal sebanyak 700 tan sehari dari tiga daerah terbabit, masyarakat diminta supaya mengambil pengajaran dengan mengamalkan kitar semula. 

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai isu kutipan sisa pepejal di kawasan masing-masing boleh terus menghubungi syarikat konsesi di talian 1-800-88-7472 atau melalui WhatsApp SWM Environment di talian 012-6180082. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya