PETALING JAYA: Sering menjayakan watak baik, pelakon, Zara Zya tidak menolak sekiranya ada produksi yang berminat menawarkan karakter antagonis atau jahat untuk menguji kemampuannya.
Jelas Zara, dia mahu mencuba watak berbeza yang belum pernah dilakonkan, terutama apabila ada pihak mendakwa, dia cuba mengelak watak jahat kerana takut dibenci.
“Siapa yang tidak takut dibenci, cuma setakat ini saya belum pernah dapat watak antagonis atau jahat.
“Sekali-sekala saya mahu juga mencuba watak berbeza. Mungkin penonton lebih suka tengok saya dalam karakter gadis desa atau wanita teraniaya.
“Saya mahu mencabar diri, pada masa bersyukur kerana penerbit dan pengarah masih meletak kepercayaan untuk saya melakonkan watak berat, biarpun dilihat ada persamaan dengan karakter sebelum ini,” katanya.
Bercakap soal populariti, Zara bersyukur, masih menerima tawaran biarpun industri hiburan dibanjiri dengan kehadiran pelakon wanita baharu.
“Kalau hendak kata terlalu di atas itu, tidak juga. Biasa sahaja. Cuma, saya bersyukur masih lagi relevan dan tawaran tetap ada. Alhamdulillah, peminat juga terus menyokong setiap produk seni saya,” ujarnya.