TIDAK dinafikan, bakat baharu muncul bersilih ganti. Apatah lagi, pada era media sosial, semuanya hanya di hujung jari. Asal pengikut ramai, peluang untuk bergelar artis menjadi lebih mudah.
Namun hakikatnya, kelebihan itu bukan jaminan. Bakat baharu dalam dunia lakonan, Marc Syahmie turut bersetuju dengan kenyataan itu.
Walaupun berbekalkan pengikut atau rupa yang elok, belum tentu mudah memancing perhatian.
“Bagi saya, bakat dan kemahuan untuk belajar itu yang menjadikan kita seseorang. Mungkin langkahnya perlahan, tetapi apa yang penting adalah kekal relevan. Itu misi sebenar apabila saya memilih untuk menjadi anak seni.
“Saya pernah diperlekeh oleh rakan-rakan. Konon ada rupa, senang hendak popular. Hakikatnya, rupa hanya bonus. Peminat sekarang tidak pandang rupa sangat kerana ramai lagi yang menarik.
“Mereka menilai daripada lakonan dan bakat kita. Bagi mereka, letaklah muka sekacak mana pun, kalau lakonan kayu, tidak guna juga,” kata pemuda berusia 23 tahun ini.
Berpegang kepada prinsip itu, Marc memberanikan diri menyertai program realiti mencungkil bakat baharu dalam dunia lakonan, Fit For Action. Baginya, itu adalah platform terbaik untuk menimba ilmu.
Kongsinya, dia pernah dimarah kerana terlalu ‘kayu’ pada awal penglibatan dalam dunia lakonan. Disebabkan itu, dia mahu menggali lebih mendalam teknik dan skil lakonan untuk membuktikan bakat.
“Saya bermula sebagai model. Tetapi, minat dalam dunia lakonan membuatkan saya ingin mencuba nasib. Bukan mahu kejar kemenangan, tetapi untuk menimba ilmu daripada tenaga pengajar.
“Bukanlah tidak menyimpan impian bergelar juara, siapa yang tidak mahu menjadi pemenang? Cuma, dalam program ini, saya berpeluang belajar daripada pengarah dan pelakon tersohor yang sudi berkongsi ilmu dengan peserta.
“Saya akui, bakat lakonan saya tidak sehebat mana. Ini masanya untuk saya buktikan kemahuan dan usaha itu lebih besar daripada kritikan dan kecaman,” katanya.
KONTROVERSI MAGNET POPULARITI?
MENJADIKAN Datuk Rosyam Nor dan Datuk Adi Putra sebagai idola dalam dunia lakonan, Marc berpendapat, kontroversi merupakan elemen yang boleh menaikkan, malah mampu menjatuhkan nama seseorang dalam industri seni.
“Kalau boleh, saya mahu mengelakkan diri daripada terpalit kontroversi yang akhirnya membawa padah kepada kerjaya seni. Saya tidak mahu menconteng arang pada nama keluarga.
“Memang ada yang popular kerana kontroversi, tetapi saya kena tengok untuk jangka masa panjang. Adakah kita akan kekal relevan dan disukai? Adakah bakat kita diakui?
“Kalau sekadar popular tanpa portfolio seni yang kuat, tiada gunanya. Biarlah seiring bakat dan populariti. Itu yang akan dipegang hingga akhir usia nanti,” katanya