KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara lantang, Vanessa Reynauld, menegaskan kemenangan sebagai Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23, baru-baru ini bukan tiket untuk berpuas hati dengan pencapaian yang diraih.
Katanya, untuk terus mendapat tempat dalam industri seni, dia harus bekerja keras dan tidak boleh bersenang-lenang.
“Saya kena perbaiki diri. Tidak boleh rasa diri sudah bagus atau hebat. Nanti jadi malas dan sombong.
“Kita kena selalu rendah diri dan sentiasa ada keinginan untuk menjadi penyanyi yang lebih baik pada masa akan datang.
“Tidak ada orang lain, hanya kita sahaja yang boleh bantu diri sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Vanessa dipilih sebagai penerima anugerah itu pada AIM 23 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu.
Penyanyi berusia 22 tahun itu mengetepikan empat calon lain seperti Rian Shain, Aufahanie, Iss Arffan dan Ahmad Syafiq.