BUKIT GANTANG: Datuk Syed Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menafikan laporan berita beliau tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada mana-mana pihak termasuk kepada media.
“Ada beberapa orang wartawan sebelum ini yang cuba menghubungi saya untuk bertanyakan perkara ini namun saya tidak menjawabnya.
“Saya tidak tahu sumber daripada mana yang mereka peroleh bagi mengeluarkan cerita tentang diri saya tidak mahu mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang, perkara ini sama sekali tidak benar,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Program Jasamu Dikenang 2.0 dan pelancaran buku bertajuk ‘Menang 4-0 Ketika Ramai Yang Kalah’ di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.
Syed Hussin berkata, sepatutnya kenyataan demikian mesti daripada beliau sendiri.
“Kalau saya yang bercakap depan kamera seperti sekarang ini (semasa sidang akhbar) tak mengapalah juga. Ini tidak, entah siapa dan sumber daripada mana yang mereka peroleh, saya tidak mengetahuinya dan tidak mahu membuat sebarang komen tentang perkara itu,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan Parlimen Bukit Gantang, Syed Hussin berkata, segalanya terletak pada pengundi sama ada masih memerlukan khidmatnya sebagai wakil rakyat atau sebaliknya.
“Saya ialah seorang calon yang menang ketika calon-calon lain tewas dalam ombak tsunami pada PRU-14 kerana hasil susunan strategi yang telah dilakukan dengan baik di samping mengenali segala masalah rakyat dan menyelesaikannya,” katanya.
Ditanya jika beliau tidak dicalonkan Bersatu, Syed Hussin enggan mengulas.
“Saya tak mahu ulas perkara itu, saya tidak mahu terlibat dalam isu-isu nasional. Saya lebih memberi fokus terhadap isu-isu rakyat di sini, tentang keperluan rakyat, menghulurkan pelbagai bantuan dan menyelesaikan segala isu di sini,” katanya. – UTUSAN