PUTRAJAYA: Konotasi bahawa mahkamah kehakiman persekutuan yang dipopularkan dengan panggilan mahkamah sivil sebagai forum tidak syariah untuk mengadili kes perbicaraan adalah bercanggah prinsip kedaulatan undang-undang di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguambela dan Peguamcara, Mohd. Zainuddin Omar berkata, pengharmonian undang-undang dengan prinsip syariah perlu berjalan serentak di mahkamah kehakiman persekutuan dan mahkamah syariah pada setiap masa.
Beliau menegaskan, kesucian Islam tidak dapat didaulatkan selagi dalam kalangan masyarakat Islam sendiri masih ramai menafikan Islam adalah prinsip kedaulatan negara.
Jelasnya, pemikiran mereka masih terbelengu dalam kerangka pemikiran sekular kerana beranggapan keadilan Islam hanya dalam mahkamah syariah, malah ada ‘dualism’ dalam sistem kehakiman dan kerangka undang-undang Malaysia.
“Kita telah gagal pertahan kedudukan Islam pada saat kita masih berfikiran mahkamah kehakiman persekutuan adalah mahkamah sivil yang tidak syariah. Pemikiran tersebut menafikan Islam sebagai agama bagi persekutuan.
“Kita akan berjaya mendaulatkan kesuciaan Islam sekiranya sama-sama perteguhkan kedudukan Islam sebagai law of the land serta sepakat menjunjung patuh syariah sebagai prinsip kedaulatan Malaysia,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Pengerusi Gerakan Daulat, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berpendapat, kerajaan perlu campur tangan bagi menghentikan penggunaan Doktrin Struktur Asas (BSD) oleh mahkamah sivil yang disifatkan mengganggu hal ehwal Islam di negara ini.
Ini kerana keputusan penghakiman berasaskan BSD bagi kes-kes hukuman mahkamah syariah yang dicabar di mahkamah sivil bertentangan dengan prinsip menjunjung Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Melalui penghakiman berlandaskan prinsip doktrin berkenaan, hakim mahkamah sivil boleh mentafsir bentuk-bentuk hukuman itu sendiri berasaskan kepada kebijaksanaan mereka tanpa melihat kepada semangat Perlembagaan dan semangat kedudukan Islam di dalam negara.
Gerakan itu turut mendakwa dengan menampilkan contoh kes Indira Ghandi di Mahkamah Persekutuan yang menentukan bahawa mahkamah sivil mengatasi mahkamah syariah dan ini adalah struktur asas Perlembagaan, walaupun terdapat Perkara 121(1A).
Mengulas lanjut berhubung pandangan itu, Zainuddin yang juga Ketua Sekretariat Kor Akwam 181 menjelaskan, BSD tafsiran Mahkamah Agung India dan takrifan struktur asas yang diberikan Mahkamah Agung Kanada, kedua-duanya disebut dalam alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan kes Indira Gandhi.
Katanya, kedua-dua tafsiran struktur asas di mahkamah-mahkamah itu perlu dijelaskan agar rakyat tidak keliru.
Beliau berpandangan, terdapat khilaf dalam pemakaian BSD India untuk mahkamah membuat tafsiran kedudukan mahkamah syariah dan prinsip penggubalan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
Ia sehinggakan bercanggah dengan kaedah pentafsiran Perlembagaan Persekutuan yang dirujuk sendiri oleh mahkamah dalam kes yang sama.
“Takrifan struktur asas yang diberikan Mahkamah Agung Kanada adalah terikat dengan kaedah pentafsiran Perlembagaan yang digariskannya sendiri; prinsip tersebut telah juga diterima oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi.
“Sebelum apa jua tanggapan dibuat tentang BSD, adalah lebih baik untuk meneliti takrifan yang diberikan dan tanya pada diri sendiri adakah sifat BSD itu tiada dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan?” katanya.
Beliau menjelaskan, pada hakikatnya BSD itu hanya satu istilah yang kini sudah diangkat sebagai terma undang-undang.
Katanya, tiada siapa patut menafikan bahawa sifat seperti yang diistilahkan sebagai BSD (rujuk takrifan yang diberikan oleh Mahkamah Agung Kanada) ada dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sesungguhnya tertakluk pada prinsip kedaulatan dan keadaan watan sesebuah negara.
“(Hakikatnya), sebarang keputusan mahkamah yang didapati bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan kaedah pentafsirannya yang digariskan sendiri oleh mahkamah tertinggi negara perlulah dirayu atau dibuat semakan kehakiman,” katanya. – UTUSAN