PASIR SALAK: Pihak berkuasa digesa menyiasat kejadian pelbagai jenis ikan di Sungai Labu, Chikus di Langkap dekat sini yang mati dipercayai akibat pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa kilang.
Seorang nelayan, Saiful Azam Mohd. Sapari, 36, berkata, kejadian itu disedari baru-baru ini apabila beribu-ribu bangkai ikan jenis lampam dan tilapia terapung di sungai itu.
Katanya, ikan tersebut mati dipercayai akibat pencemaran apabila air sungai bertukar menjadi warna hitam dan berbau busuk sehingga nelayan tidak dapat turun ke sungai untuk menangkap ikan.
“Di kawasan ini sahaja terdapat enam nelayan sungai yang menjadikan hasil di Sungai Labu sebagai punca rezeki mereka tetapi sejak air sungai ini tercemar, pendapatan kami terjejas malah kami sudah tidak lagi menangkap ikan.
“Jadi, kami sangat berharap masalah ini disiasat oleh pihak berkuasa daripada terus berlaku. Kami tidak mahu sungai ini terus tercemar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kejadian seperti itu pernah berlaku sebelum ini dipercayai akibat pencemaran sisa kilang.
“Perkara ini perlu segera diatasi agar sungai ini kembali seperti sediakala supaya kami dapat terus mencari rezeki,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pihaknya memandang serius aduan daripada nelayan mengenai pencemaran sungai sehingga menyebabkan hidupan di sungai itu mati.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu menyiasat punca ikan sungai ini boleh mati dan bagaimana airnya tercemar dengan bau busuk dan warnanya bertukar hitam,” katanya.