GUA MUSANG: Lebih 500 penduduk Orang Asli daripada suku kaum Mendriq dan Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini mendakwa pendapatan mereka terjejas sejak lima tahun lalu selepas Sungai Lebir yang menjadi salah satu punca ekonomi tercemar akibat aktiviti perlombongan.
Dakwa penduduk, aktiviti tersebut menyebabkan air sungai bertukar menjadi keruh sekali gus menyebabkan hampir satu tan metrik ikan ditemukan mati sepanjang tempoh lima tahun.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, Sungai Lebir menjadi lubuk rezeki bagi penduduk untuk menangkap ikan sejak 1970-an.
“Kebanyakan ikan yang ditangkap penduduk daripada spesies yang sukar diperoleh seperti kelah, toman, jogho dan kenerak.
“Sebelum ini juga penduduk membina rakit buluh untuk aktiviti menangkap ikan sungai, namun sejak pencemaran berlaku penduduk mengambil keputusan untuk berhenti berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Bolek Lilin, 78, berkata, penduduk kampung sudah tidak berani menggunakan air sungai kerana bimbang terdedah dengan keracunan.
Katanya, sebelum ini penduduk bergantung dengan sungai itu untuk keperluan harian seperti mandi, air minuman dan membasuh pakaian.
“Kami bernasib baik apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membina sistem bekalan air di kampung ini. Kebanyakan penduduk telah berhenti melakukan kerja menangkap ikan apabila sering kali pulang dengan tangan kosong.
“Kami anggap kerja tangkap ikan di sungai tidak lagi memberi keuntungan. Susulan itu, penduduk beralih melakukan kerja yang memberi pulangan lain seperti bercucuk tanam dan menoreh getah,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin mengakui menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan Sungai Lebir yang tercemar.
Katanya, pihaknya mengambil perhatian tentang aduan penduduk dan akan merujuk kepada pihak bertanggungjawab.
“Selain di Kampung Pasir Linggi, kampung berhampiran seperti Kampung Miak, Kampung Sungai Lepa, Kampung Susu Dara turut terjejas,” katanya. – UTUSAN