KOTA BHARU: Cubaan penyeludup menyorokkan sebuah beg mengandungi 69 butir peluru hidup dan dadah di dalam semak berhampiran pangkalan haram Pak Ngah di Kampung Kuala Jambu, Tumpat dekat sini terbongkar selepas berjaya ditemukan oleh anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.
Peluru dan dadah itu ditemukan pada pukul 12 tengah hari semasa anggota PGA melakukan rondaan rutin menerusi pengusan Op Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, sejurus selepas ditemukan, anggota bertugas membuat intipan dan pemerhatian lebih dua jam namun tiada sesiapa menghampiri kawasan berkenaan untuk mengambil beg itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas beg tersebut PGA telah menemukan 10 butir peluru jenis .38 SPL USA, 10 butir peluru jenis 9MM, 30 butir peluru jenis 357 MAG USA, 16 butir peluru jenis Buck Shot 12 Gauge dan 3 butir peluru jenis .22.
“Turut ditemukan adalah 240 pil dipercayai pil yaba, 20 gram serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu dan satu tiub berisi biji disyaki benih ganja.
“Nilai kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM5,239 dan polis tidak menolak kemungkinan barangan tersebut diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Tambahnya, polis masih menyiasat dari mana peluru berkenaan diperoleh berdasarkan jenis dan saiz dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, Batalion 9 PGA menangkap seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas perisa cecair vape pelbagai jenama serta pelbagai jenis katrij vape bernilai RM2.04 juta.
Katanya, serbuan dibuat di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Danhwa Kampung Kebakat, Tumpat pada pukul 12.30 tengah malam, 4 September lalu.
“Semasa ditahan, suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan pelbagai perisa cecair vape ketika diminta.
“Suspek kemudiannya ditahan dan kesemua barangan dirampas dan dirujuk kepada pihak Jabatan Kesihatan negeri. Kes disiasat di bawah Seksyen 13 (A) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN