SKN 2.0 pastikan ATM berada di landasan ditetapkan - Utusan Malaysia

SKN 2.0 pastikan ATM berada di landasan ditetapkan

AFFENDI Buang (berdiri, tengah) memeriksa perbarisan tempur dan demonstrasi aset sempena sambutan Hari Terbuka Angkatan Tentera Malaysia ke-89 di Pangkalan Udara Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Strategi Ketenteraan Negara 2.0 (SKN 2.0) yang dilancarkan hari ini, menjadi sebuah dokumen strategi terkini yang relevan, berkesinambungan dan praktikal dalam memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berada di landasan yang ditetapkan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, penerbitan dokumen itu bagi mendukung aspirasi pertahanan negara dengan menjadikan Kertas Putih Pertahanan dan Dasar Pertahanan Negara sebagai sumber rujukan utama.

Menurutnya, dokumen itu menjelaskan perancangan strategi ketenteraan yang digubal secara holistik serta inklusif bagi mencapai objektif-objektif ketenteraan, sekali gus membolehkan ATM mendapat kelebihan strategik dalam apa jua keadaan.

“Kelebihan ini bukan sahaja akan membolehkan ATM mengaplikasikan opsyen ketenteraan berjulat luas, malah turut menjadi asas kepada pembangunan pertahanan nasional.

“Ia susulan ke arah menjadi sebuah Angkatan Masa Hadapan bagi mendepani ancaman yang semakin kompleks dan dinamik.

“Saya mahu semua Panglima Perkhidmatan dan seluruh warga ATM di ketiga-tiga perkhidmatan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk bersama-bersama saya, membuat lonjakan paradigma, daripada SKN terdahulu kepada SKN 2.0, melalui proses learn, unlearn and relearn,” katanya ketika berucap sempena Perbarisan Tempur dan Demonstrasi Aset sempena Hari ATM ke-89 di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.

Affendi berkata, dunia berhadapan dengan ketidaktentuan keadaan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau serta global yang semakin kompleks dan dinamik ketika ini.

Jelasnya, dalam situasi ini, pelbagai ancaman baharu boleh datang dengan pelbagai cara antaranya melalui Peperangan Hibrid yang boleh memutuskan hubung kait sistem dan struktur pemerintahan negara hingga akhirnya memusnahkan kedaulatan sesebuah negara tersebut secara keseluruhannya.

“Contoh terbaik adalah konflik semasa yang sedang berlaku di Ukraine, bagaimana keamanan sesebuah negara berdaulat berubah secara dinamik sehingga mewujudkan keadaan ketegangan luar jangka yang menggemparkan.

“Selain mengorbankan banyak nyawa, ia turut menjejaskan kestabilan sistem antarabangsa seperti ekonomi, perundangan, gangguan rantaian bekalan makanan dan minyak, serta pelbagai lagi kesan negatif secara langsung, kepada seluruh penduduk dunia,” katanya.

Justeru beliau turut mengingatkan agar warga ATM terus kekal berdiri teguh mengota janji, melunaskan tanggungjawab selaku Benteng Utama Pertahanan Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya