PETALING JAYA: Pelakon, Sharifah Amani selamat bergelar isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Impact Integrated, Ahmed Faris Amir, 34 dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis tertutup, kira-kira jam 10 pagi tadi.
Sharifah Amani berkata, dia bersyukur majlis pernikahan yang dirancang sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar dan dipermudahkan.
“Alhamdulillah, di sebalik ujian pandemik melanda dunia sejak dua tahun lalu, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.
“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.
“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami. Insya-Allah,” katanya.
Pasangan itu dinikahkan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee, berwalikan bapa pengantin perempuan, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.
Dalam majlis tersebut, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Sharifah Amani sebelum ini merahsiakan hubungan percintaannya dan mengikat tali pertunangan pada Jun lalu.