Shahir sah bergelar suami pemilik butik - Utusan Malaysia

Shahir sah bergelar suami pemilik butik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, penyanyi, Shahir Zawawi, 34, sah bergelar suami kepada suri hati pilihan, Jaskin Jaludin, 33, pada majlis pernikahan yang berlangsung di sebuah premis di Subang Jaya, dekat sini, kira-kira pukul 9.10 malam tadi.

Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi dinikahkan bapa pengantin perempuan, Jaludin Nongce disaksikan Penolong Daftar Nikah, Ustaz Muhammad Hakimi Mustapai dan bapa pengantin lelaki, Zawawi Abdullah.

Majlis pernikahan yang berlangsung penuh bermakna itu dihadiri keluarga dan rakan terdekat.

Pada majlis tersebut, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300, selain lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pengantin perempuan.

Pihak lelaki turut memberikan wang hantaran berjumlah RM20,000 kepada pengantin perempuan.

Shahir yang ditemui selepas selamat bergelar suami berkata, dia bersyukur kerana majlis akad nikah mereka berjalan dengan lancar seperti dirancang.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang telah bersama-sama membantu menjayakan majlis ini.

“Alhamdulillah, ini adalah permulaan baharu buat kami dan selepas ini, saya perlu memikirkan perancangan untuk kami berdua,” katanya.

Juara Akademi Fantasia musim ke-8 itu menambah, dia juga berharap agar perkahwinan yang terbina itu akan berkekalan sampai ke akhir hayat.

“Saya berharap kami berdua dapat membina sebuah rumah tangga yang sihat dan berjalan atas landasan agama,” ujarnya.

Pada 16 Julai lalu, penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu mengikat tali pertunangan dengan Jaskin yang juga usahawan, merangkap pemilik sebuah butik di Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya