Shahidan pertahan Arau: Badan Perhubungan UMNO saring nama - Utusan Malaysia

Shahidan pertahan Arau: Badan Perhubungan UMNO saring nama

AZLAN Man mengulas mengenai desas-desus pencalonan Shahidan Kassim dalam PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Badan Perhubungan UMNO negeri berperanan menyaring terlebih dahulu senarai nama calon yang dibawa di peringkat bahagian sebelum dibawa ke peringkat pusat untuk dimuktamadkan siapa yang terpilih.

Demikian reaksi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim baru-baru ini yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sebalik desas-desus nama beliau tidak dicalonkan.

Kata Azlan, beliau juga tidak tahu Shahidan akan mempertahankan kerusi tersebut.

“Betul, bahagian akan mencalonkan tapi pencalonan bahagian itu akan dibuat saringan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri dan perhubungan akan memperakukan kepada pusat (UMNO pusat) untuk melihat senarai nama yang telah dicadangkan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan akan pertahankan kawasan Arau dalam PRU15.

Shahidan dilaporkan berkata, kerusi-kerusi menang tidak boleh diperjudikan dengan meletakkan calon yang tidak sewajarnya.

Shahidan yang cukup sinonim di kawasan Parlimen Arau menguasai Parlimen tersebut pada pilihan raya 1986, 1990, 2013 dan 2018.

Desas-desus bertiup kencang bahawa Shahidan yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau tidak dicalonkan lagi di kawasan berkenaan pada PRU15 dan jika ia menjadi kenyataan, ini akan memberi tamparan cukup hebat kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Sementara itu, Azlan yang juga Menteri Besar berkata, pihaknya masih meneliti senarai-senarai calon yang bakal diketengahkan dalam PRU15.

“Kita sedang melihat lagi senarai-senarai nama bersesuaian untuk diketengahkan sebagai calon,” katanya.

Dalam PRU14 disebalik gelombang yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumpas buat kali pertama dalam sejarah, Perlis masih berjaya membentuk kerajaan negeri.

Dalam pilihan raya tersebut, BN menang 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen iaitu Arau dan Padang Besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya