Shafee sengaja tutup jejak kewangan - Pendakwa

Shafee sengaja tutup jejak kewangan – Pendakwa

MUHAMMAD Shafee Abdullah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi penghujahan kes pengubahan wang haram melibatkan penerimaan wang RM9.5 juta. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memilih membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertujuan menutup jejak kewangan melibatkan wang RM9.5 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz berhujah, peguam tersebut sengaja tidak mahu mengisytiharkan wang yang diterima bagi mengelak dikenakan cukai pendapatan bagi membolehkannya membayar pembelian sebuah banglo bernilai RM9.3 juta.

Hujah beliau, Muhammad Shafee menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi walhal beliau tiada masalah melaporkan pendapatan kasar kepada LHDN serta mampu membayar cukai pendapatan kerana mempunyai aliran tunai yang `sihat’ dan lancar.

“Pada 2013, aliran tunai Muhammad Shafee sebanyak RM5.4 juta dan dia sepatutnya membayar cukai pendapatan RM2.4 juta, jadi beliau tiada masalah untuk melaporkan pendapatan kasar kepada LHDN.

“Beliau sengaja tidak melaporkan kepada LHDN kerana wang itu telah digunakan untuk tujuan peribadi bagi membayar pembelian banglo,” kata Afzainizam sewaktu berhujah pada akhir kes pendakwaan.

Afzainizam selanjutnya berhujah, hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan dua cek yang diterima daripada Najib itu merupakan hasil aktiviti haram yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Pendakwaan menghujahkan, Muhammad Shafee menggunakan hampir 97 peratus daripada wang RM9.5 juta yang diterima itu untuk membayar pembelian aset, walhal wang itu sepatutnya digunakan untuk membayar cukai pendapatan.

Hujah Afzainizam, bagi menutup jejak jenayah, Muhammad Shafee memberitahu SPRM bahawa wang RM9.5 juta itu sebagai pinjaman daripada Najib, jadi beliau tidak perlu melaporkannya kepada LHDN atau membayar cukai kerana ia bukan pendapatan.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh berhujah, wang RM9.5 juta yang diterima oleh Muhammad Shafee Abdullah daripada bekas Perdana Menteri, bukan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau yang berhujah mewakili tertuduh sebaliknya menyatakan, wang itu diperolehi secara sah iaitu selepas memberikan khidmat guaman kepada Najib berkaitan petisyen pilihan raya UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ujar beliau, Najib harus dipanggil memberi keterangan di mahkamah bagi membuktikan wang yang diberikan itu adalah yuran guaman.

Sehubungan itu peguam bela menghujahkan, pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhammad Shafee tidak melibatkan harta berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.

Hujah Harvinder, pihak pendakwaan cuba memperluaskan kesnya dengan menyatakan Muhammad Shafee bertindak menukar wang yang diterima daripada Najib dengan cara membeli rumah.

“Memang benar wang itu digunakan untuk membeli rumah namun perkara itu bukan kesnya,” ujar peguam bela.

Oleh yang demikian, pihak pembelaan menghujahkan pertuduhan terhadap Muhammad Shafee adalah tidak berasas dan memohon beliau dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan 28 Oktober ini bagi memutuskan sama ada Muhammad Shafee dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Hakim berkenaan memaklumkan, beliau perlu meneliti penghujahan lisan dan penghujahan bertulis melebihi 500 muka surat yang difailkan oleh kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan pada akhir kes pendakwan.

Pada 12 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil saksi kelapan yang juga saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar.

Kes itu mula dibicarakan pada 21 Mei 2021 selepas dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Muhammad Shafee didakwa pada 13 September 2018.

Muhammad Shafee didakwa terhadap dua tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul.

Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya