Sewa rumah untuk simpan syabu RM8.53 juta

Sewa rumah untuk simpan syabu RM8.53 juta

YAHAYA Othman (tengah) menunjukkan sebahagian daripada 226 bungkusan mengandungi dadah disyaki syabu yang dirampas di rumah teres dua tingkat di Segambut, Kuala Lumpur. - UTUSAN/FAIZ ALIFF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan satu sindiket pengedaran dadah menyewa sebuah rumah untuk menyimpan bahan larangan itu terbongkar selepas tujuh lelaki ditahan dalam lima serbuan di empat negeri pada 17 September lalu.

Hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kira-kira pukul 1.30 pagi itu turut menemukan dadah jenis syabu bernilai RM8.53 juta.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Segambut di sini.

Kata beliau, hasil daripada serbuan berkenaan, sebanyak 226 bungkusan seberat 236 kilogram (kg) mengandungi dadah disyaki syabu ditemukan di dalam kediaman berkenaan.

“Ekoran itu, polis menahan seorang lelaki di sekitar kawasan berkenaan dipercayai ahli sindiket.

“Berpandukan lelaki berkenaan, kita kemudian menahan dua lelaki di Tapah, Perak diikuti masing-masing seorang di Bukit Pulau Pinang, Perak dan Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yahaya berkata, sebanyak empat kenderaan iaitu Toyota Alphard, Ford Ranger dan Perodua Axia dan Bezza dirampas.

Kata beliau, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak Julai lalu. 

“Kesemua tangkapan berusia 24 tahun hingga 47 tahun itu kini ditahan reman tujuh hari sejak 18 September lalu bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ganja (empat orang),” jelasnya.

Tambah beliau, semakan lanjut mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Kita percaya dadah yang dirampas ini boleh digunakan sebanyak 473,760 orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya