‘Serangan’ gajah liar disebabkan tindakan manusia

‘Serangan’ gajah liar disebabkan tindakan manusia

PERBUATAN manusia yang mengganggu habitat gajah boleh menyebabkan risiko serangan haiwan berkenaan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Serangan’ gajah liar seperti dilaporkan di beberapa negeri berpunca daripada perbuatan manusia sendiri yang mengganggu habitat haiwan berkenaan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Pra-Klinikal Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan berkata, malah haiwan liar boleh bertindak ganas jika diganggu kerana perilaku haiwan ‘tertakluk’ kepada rangsangan fisiologi tubuh badannya.

“Rangsangan ini terdiri daripada keperluannya untuk makanan, minuman dan membiak. Sekiranya habitat asalnya masih boleh memberikan keperluan asas tersebut, maka haiwan tidak akan keluar daripada habitat. 

“Namun, apabila habitat telah diganggu sehingga tahap yang mempengaruhi fisiologi normal, haiwan akan keluar dari habitat untuk mencari keperluan asas di tempat lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam. 

Kelmarin akhbar ini melaporkan mengenai ‘serangan’ gajah liar yang mencetuskan konflik dengan beberapa penduduk termasuk pekebun di Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu mengalami kerugian selepas kebun mereka musnah akibat serangan haiwan liar itu.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima antara 100 hingga 120 aduan ancaman haiwan berkenaan setiap tahun.

Masalah yang berlarutan itu disebabkan kawasan hutan yang semakin mengecil dan sumber makanan yang kurang mendorong haiwan berkenaan menceroboh kawasan pertanian penduduk termasuk menghampiri kediaman pada waktu malam.

Menurut Perhilitan, permasalahan itu boleh diselesaikan sekiranya pemusnahan habitat asal haiwan liar dihentikan serta pemantauan habitat asal haiwan liar secara berkala untuk mengesan gangguan terhadap ekosistem dilaksanakan. 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kawasan Perlindungan Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, orang ramai dinasihatkan untuk segera membuat laporan jika ternampak haiwan liar berkeliaran.

“Jangan memprovokasi haiwan tersebut dengan melakukan apa-apa yang boleh menjadikannya agresif, mereka tidak akan bertindak sekiranya tidak diganggu,” katanya. 

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Datuk Seri Abdul Malek Yusof turut mengakui serangan gajah liar yang semakin berleluasa itu berpunca daripada sikap lalai manusia sendiri yang tidak menjaga khazanah alam. 

Menurutnya, gajah tidak akan menyerang sesuka hati sekiranya orang ramai tidak mengacau habitatnya.

“Pembalakan dan penerokaan hutan secara haram semakin meningkat terutamanya selepas pandemik Covid-19. Sebelum ini jarang dapat dilihat isu gajah berkeliaran, jadi apa yang dilakukan oleh orang ramai sehingga mencetus permasalahan ini? 

“Banyak habitat gajah diceroboh untuk melaksanakan aktiviti pembangunan yang menyebabkan gajah mempunyai kawasan yang sangat terhad dan ia membawa kepada kekurangan sumber makanan,” katanya.

Jelasnya, Perhilitan harus memainkan peranan yang besar dalam isu ini, ketatkan kawalan dan penguatkuasaan terhadap kawasan yang disyaki pencerobohan berlaku.

“Punca lain gajah liar berkeliaran adalah kerana pemburuan gadingnya semakin meningkat, apabila seekor gajah dibunuh menyebabkan gajah lain menyerang kawasan berdekatan. 

“Orang ramai hanya menyoalkan tentang serangan gajah liar kenapa tiada pihak yang menyoal pemburu gajah liar tersebut?” Soalnya. 

Abdul Malek berkata, gading gajah adalah lambang negeri Pahang di mana gadingnya terdapat di jata negeri tersebut yang membawa maksud kegagahan dan kewiraan negeri ini. 

“Ini menunjukkan simbol khazanah negeri tersebut yang harus dijaga, apa akan terjadi sekiranya suatu hari spesies gajah pupus disebabkan gadingnya diburu. Generasi akan datang tidak akan mengetahuinya dan hanya akan tinggal replika sahaja.

“Oleh hal yang demikian, program kesedaran dan pendidikan peringkat sekolah dan pengajian tinggi harus dilaksanakan untuk memastikan gajah disayangi dan untuk mengelakkan kepupusan spesies tersebut,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN