Sembilan wanita asing leka berfoya-foya, minum minuman keras ditahan polis Bentong - Utusan Malaysia

Sembilan wanita asing leka berfoya-foya, minum minuman keras ditahan polis Bentong

POLIS menyoal siasat sembilan wanita warga asing yang diberkas di sebuah pusat hiburan di Genting Highands di Bentong, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD BENTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis Bentong menahan sembilan wanita asing berusia antara 25 hingga 36 tahun ketika sedang leka berhibur sambil minum minuman keras di sebuah pusat hiburan di Genting Highlands di sini.

Dalam serbuan pada 2 September lalu, pukul 11.50 malam, polis turut merampas beberapa peket dadah jenis ketamine dan syabu termasuk beberapa keping kondom.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, serbuan di pusat hiburan terletak di pusat peranginan tanah tinggi itu dilakukan atas maklumat orang ramai tentang wanita tersebut sedang leka berhibur sambil minum minuman keras.

“Polis merampas tiga peket lutsinar berisi serbuk kristal dadah jenis ketamine seberat 2.25 gram, dua peket lutsinar berwarna kuning keemasan disyaki dadah jenis syabu (22.75 gram) dengan anggaran nilai keseluruhan RM750.

“Ketika pemeriksaan dalam sebuah beg plastik putih, polis menemukan 16 keping kondom yang dipercayai digunakan wanita terbabit untuk kegiatan tidak bermoral,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham, ujian air kencing terhadap sembilan suspek mendapati lapan wanita positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua sembilan suspek direman selama 14 hari sehingga 16 September ini.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Suspek juga turut disiasat di bawah Seksyen 372(B) Akta Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Imigresen, Seksyen 59/63(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Zaiham memberi amaran keras bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan kes dadah dan jenayah di daerah ini serta akan mengambil tindakan tegas berasaskan undang-undang.

“Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong berterima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat tersebut dan meminta terus bekerjasama bagi membantu polis di sini membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah, jenayah dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya