KUALA TERENGGANU: Segelintir peniaga dikesan menjual telur penyu secara dalam talian walaupun penjualannya diharamkan bermula 1 Jun lalu.
Peniaga terbabit didapati menjual telur penyu secara terbuka di aplikasi beli-belah dalam talian ternama.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Mohd. Uzair Rusli di Facebooknya semalam.
“Tindakan peniaga ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mencabar undang-undang negara. Oleh itu, saya mengajak orang ramai untuk bersama-sama membuat aduan mengenai tindakan tidak beretika peniaga ini.
“Untuk pengetahuan semua, aplikasi itu sangat peka dengan sebarang penjualan yang tidak mematuhi garis panduan ditetapkan pihaknya dan pernah menyekat beberapa akaun penjual telur penyu pada 2020,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semakan terhadap akaun peniaga tersebut di aplikasi berkenaan mendapati, telur itu dijual RM7.50 sebiji atau harga lebih murah iaitu RM6.90 untuk pembelian borong lebih daripada 15 biji.
Peniaga itu mengiklankan telur penyu tersebut sebagai telur dari dasar laut Terengganu. Malah, peniaga itu juga memberikan resipi cara memasak telur penyu berserta beberapa tips untuk pembeli menikmati telur eksotik tersebut.
Semakan mendapati ada enam maklum balas di ruangan ‘review’ barangan yang dijual dipercayai daripada pembeli yang pernah mendapatkan khidmatnya sebelum ini.
Pada November 2021, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dengan sebulat suara meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) untuk mengharamkan penjualan semua jenis telur penyu demi menjaga kelestariannya.
Pindaan itu antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan penyu, dengan menetapkan kadar denda lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu, iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini. – UTUSAN