PETALING JAYA: Sektor peruncitan khususnya membabitkan bumiputera masih terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan kebanyakannya gagal mencapai kadar 70 peratus keuntungan.
Dalam dunia perniagaan, keuntungan perlu dicapai dalam purata 75 ke 80 peratus ke atas.
Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, susulan kemelut itu, ia menjejaskan prestasi 57 ahli di bawah BRO yang merupakan pemain gergasi sektor peruncitan Bumiputera seperti Mydin,
Habib Jewel dan Al-Ikhsan, sedangkan mereka membantu menyumbang kepada hasil negara melalui pulangan perniagaan mencecah RM10 bilion setiap tahun.
Malah, kemelut yang dialami ahli-ahli BRO juga dikhuatiri menjejaskan lebih 18,000 pekerja di bawah mereka dan turut memberi kesan terhadap lebih 10 juta kaki persegi ruang niaga yang kini diusahakan.
“Apabila kita perhatikan, sektor peruncitan meningkat. Tapi ia naik pada 2021, sebab waktu itu pandemik Covid-19. Apabila kata ekonomi naik lapan ke 10 peratus, itu keadaan pada 2021, sewaktu pandemik Covid-19.
Sedangkan kita tak boleh bandingkan keadaan waktu itu.
“Sebab, sekarang ini perniagaan runcit walaupun sudah naik balik, tapi taraf mereka belum mencecah 70 peratus berbanding aras sebelum pandemik Covid-19. Maknanya, kalau 2019 ada satu kedai runcit atau perniagaan makanan, atau Mak Cik Kiah yang jual pisang goreng, walaupun sekarang perniagaan mereka dah bangkit semula, tapi belum setaraf seperti era sebelum 2019,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata, rata-rata peruncit masih gagal mencapai paras pulang modal pusingan, memberi isyarat ekosistem sektor itu perlu diberikan tumpuan dalam belanjawan 2023 kali ini.
“Masalah sekarang ini, perniagaan cuma mampu mencecah kenaikan ke paras 70 peratus saja berbanding sebelum pandemik Covid-19. Ini bererti, mereka belum sampai ke taraf perniagaan yang stabil, iaitu anggaran 90 peratus atau 100 peratus seperti kestabilan bisnes masing-masing sewaktu sebelum Covid-19 melanda.
“Untuk rekod, bagi mencapai kadar balik modal dalam bisnes biasanya memerlukan antara 75 hingga 80 peratus, baharulah mereka untung. Sekarang, walaupun kita lihat ramai yang keluar membeli-belah dan jalan-jalan, tapi ia belum setaraf sebelum Covid 19.
“Di pihak BRO, secara keseluruhan, angka jualan kita lebih kurang RM10 bilion setiap tahun. Kami juga mengambil lebih 18,000 pekerja, dan mempunyai lebih 10 juta kaki persegi ruang perniagaan. Jadi sebab itulah kerajaan harus memperhalusi polisi-polisi untuk membantu sektor peruncitan Bumiputera ini, sebab sumbangannya yang penting terhadap perkembangan ekonomi negara,” katanya.- UTUSAN