TEKNOLOGI video sangat banyak membantu perkembangan muzik. Sudah puluhan tahun video menjadi medium untuk peminat meneroka muzik.
Dengan video, manusia dapat memanfaatkan dua deria berbanding hanya satu apabila mendengar muzik. Selain mendengar, kita juga melihat. Dengan dwiindera ini, kita bukan sekadar menikmati bunyi-bunyian yang disusun The Beatles, malah melihat gelagat John Lennon, Paul McCartney, George Harrison dan Ringo Starr membuat persembahan.
Dengan video juga, kita terpesona dengan gerak-geri Michael Jackson bersama pelbagai tariannya yang menakjubkan. Berkat video juga, kita jatuh cinta dengan ketenangan Kurt Cobain ketika beraksi unplugged bersama Nirvana.
Teknologi yang semakin maju memustahakkan peranan video. Artis kini tidak cukup hanya melancarkan lagu, ia perlu disusuli video muzik untuk mengikat minat peminat.
Lebih mencabar
Secara peribadi, konsep video dalam bidang muzik yang paling saya gemari ialah video persembahan langsung. Dalam video sebegini saya dapat melihat kemampuan kugiran membuat persembahan dengan kualiti audio dan visual yang lebih baik. Berbanding video muzik, konsep video persembahan langsung lebih mencabar.
Di Malaysia, antara siri persembahan langsung yang terkenal ialah The Wknd Sessions dan Kamar Seni Studios Live Sessions (KSSLS). The Wknd Sessions memberi impak yang sangat besar kepada karier Iqbal M., walaupun video persembahannya disulam kontroversi.
Konsep persembahan langsung juga banyak diteroka semasa pandemik Covid-19 menggila dahulu. Antara yang paling menarik ialah TAPAUfest 2021. Persembahan Zee Avi dan Plague of Happiness menjadi luar biasa hasil rekaan set dan permainan kamera yang digunakan.
Dan kita juga tidak wajar lupa pada Rojak Session. Antara siri persembahan langsung yang konsisten sejak enam tahun lalu. Pada 30 Ogos lalu, Rojak Session menerbitkan videonya yang ke-100.
Sekangkang Kera
Rojak Session menyambut kejayaan penerbitan video ke-100 melalui Sekangkang Kera, episod istimewa yang merakam persembahan empat kugiran di empat ruang acara dalam satu hari. Episod yang ditayangkan pada malam merdeka itu menampilkan The Venopian Solitude, Fugo, Rizal Tony Trio dan A. Limin.
Empat ruang acara yang terlibat ialah tiga studio muzik iaitu Cero’, Paip Besi Studio dan ATAS by BijanFX serta sebuah studio produksi video, Krom Studio. Keempat-empat ruang acara ini terletak berdekatan antara satu sama lain. Sebab itu nama episod ini Sekangkang Kera, melambangkan jarak yang ‘sempit’ antara satu sama lain.
Episod ini menjadi lebih menarik apabila selingan antara persembahan oleh kugiran diisi dengan klip pergerakan kru belakang tabir Rojak Session. Kita selalu terlepas untuk menghargai mereka yang di belakang kamera. Apa yang dilakukan Rojak Session dalam Sekangkang Kera memberikan kita sedikit gambaran tentang belakang tabir pembikinan video persembahan langsung.
Susahkan diri
Antara cara terbaik untuk menghasilkan satu episod istimewa sempena apa-apa kejayaan adalah dengan menyusahkan diri. Ini yang dilakukan pasukan Rojak Session.
Mereka boleh sahaja rakam empat persembahan ini dalam empat hari yang berbeza, atau kumpulkan semua kugiran di sebuah ruang acara yang sama, tapi apa yang istimewanya dengan rakaman sebegitu? Jadi, mereka susahkan diri, selesaikan semua rakaman dalam satu hari yang sama di empat lokasi berbeza.
Habis satu persembahan,anda dapat lihat kru gulung wayar, angkut tripod dan bergerak ke lokasi seterusnya. Di lokasi yang baharu, mereka mulakan semula segala kerja – rekaan set, pemeriksaan audio dan susunan visual. Itulah yang dilakukan dalam empat lokasi berbeza.
Melalui konsep sebegini, kita dapat lihat siapa di sebalik Sekangkang Kera. Kita nampak muka penerbit eksekutif, pengarah dan editornya, Raja Azrie; penerbitnya, Najib Khalil dan Apip; pembantu penerbit, Renee Marina; jurutera rakaman dan adunan, Apip dan Hadeef Azlan serta pengarah seninya, Alif Ridzuan dan Hajar Husna dari THEROCKSHOW.
Juga tidak ketinggalan, sesi temu ramah ringkas selepas bersama kugiran yang dikendali hos, Hyke Nasir.
100 dan seterusnya
Saya faham erti 100 karya yang bermakna. Kali ini, giliran Rojak Session pula yang meraikan karya ke-100. Ia sebuah batu tanda kejayaan yang turut membawa bersama tekanan untuk menambah baik usaha.
Semoga Rojak Session terus maju dan kreatif menampilkan kelainan dalam episod seterusnya. Walaupun nampak ringkas, kewujudan produksi yang sudi memberikan platform kepada kugiran mempersembahkan karya mereka secara langsung sangat bermakna.
Rojak Session sejak enam tahun lalu membuka ruang penerokaan muzik buat peminat. Semoga ruang itu terus dibuka, mungkin sehingga 200, 300 malah sehingga 1,000 episod. Panjang umur Rojak Session.