ALOR SETAR: Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa pucuk pimpinan parti supaya menyegerakan soal rundingan kerusi, penentuan calon serta kerjasama politik dengan mana-mana parti.

Katanya, ini bagi membolehkan jentera sayapnya dapat melakukan persiapan lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Dewan Pemuda Pas perlu satu panduan yang jelas dan segera kepada jentera, pengarahan dan taktikal berstrategi untuk hadapi PRU15. Pas sudah tentu perlu memuktamadkan soal pembahagian kerusi dan penentuan calon dengan segera.
“Biar jelas siapa yang perlu dihadap, siapa yang boleh dibuat kawan. Anak-anak muda sedang menunggu arahan kepemimpinan, sebarang isyarat dan arahan akan kami junjung, insya-Allah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Pemuda Pas di Alor Setar hari ini.
Namun, beliau menegaskan Pas tidak boleh mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Perlu diingatkan sekali lagi, tidak ada kerjasama dengan PH, ia adalah noktah yang tidak boleh dirunding lagi,” katanya. – UTUSAN