KUALA SELANGOR: Kerajaan digesa mempercepatkan penetapan harga siling bagi upah pengambilan dan penghantaran sektor p-hailing di seluruh negara supaya bayaran perkhidmatan yang tidak menentu itu dapat diselaraskan.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, harga siling perlu ditetapkan bagi membantu penghantar p-hailing memperoleh pendapatan dalam lingkungan gaji minimum RM1,500.
“Pendapatan pekerja sektor tidak formal itu masih terumbang ambing dan tidak stabil bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Justeru, kerajaan perlu segera menetapkan harga lantai atau siling munasabah bagi meringankan beban mereka yang turut berdepan kenaikan kos hidup dan harga barang,” katanya ketika ditemui selepas program Kempen Keselamatan Motosikal P-Hailing di Bandar Puncak Alam, hari ini.
Lebih 100 pekerja p-hailing di sekitar daerah ini hadir pada program tersebut dan menerima sumbangan topi keledar serta minyak hitam percuma.
Pelan penambahbaikan ekosistem ekonomi gig p-hailing sebelum ini dilapor diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada 11 Ogos lalu yang turut mengandungi cadangan penetapan harga lantai itu.
Pelan dibangunkan bersama Pemuda UMNO, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menggesa syarikat penyedia menambah baik sistem peta digital di aplikasi syarikat supaya jarak perjalanan selaras dengan sistem peta aplikasi di Google atau Waze.
Dzulkefly menambah, pekerjaan dalam sektor itu sememangnya bergantung kepada kekerapan trip atau jumlah pelanggan harian namun pendapatan mereka akan lebih terjamin sekiranya ada satu harga siling sebenar ditetapkan.
Tambah beliau, perkara itu turut akan dibahaskannya di sidang Parlimen kelak kerana lebih 1,000 penghantar p-hailing di Kuala Selangor turut menuntut isu berkenaan diselesaikan. – UTUSAN