KUALA TERENGGANU: Sederet 12 rumah kedai di Kampung Cina di sini musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Kebakaran yang melibatkan rumah kedai berusia lebih 60 tahun di tapak warisan negeri itu berlaku kira-kira pukul 8.30 malam.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd. Khairiri Mat Rasad @ Arshad berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran itu daripada orang awam yang ke balai bomba terletak kira-kira 800 meter dari tempat kejadian pada pukul 8.42 malam.
Katanya, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati lima rumah kedai terbakar sebelum merebak dengan cepat kerana sistem pendawaian elektrik yang tidak sistematik dan keadaan angin kencang.
“Kemusnahan rumah kedai tersebut yang diperbuat daripada struktur kayu dan batu sebanyak 30 peratus hingga 100 peratus.
“Bagaimanapun kebakaran yang dapat dikawal dalam tempoh 45 minit itu tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Kampung Cina di sini, malam tadi.
Mohd. Khairiri berkata, seramai 60 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Jalan Kota, Balai Bomba dan Penyelamat Marang dan Balai Bomba Sukarela Kuala Nerus terlibat dalam operasi memadam kebakaran tersebut.
Selain itu, katanya, sebanyak empat buah jentera, dua lori tangki dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut digerakkan ke tempat kejadian.
“Antara premis yang terlibat dalam kebakaran itu adalah kedai kain, kedai emas, kedai gunting rambut, restoran dan kedai kunci,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik kedai emas, Mohd. Ridzuan Mohd. Yasin, 39, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam setelah dimaklumkan oleh rakannya.
Katanya, dia menutup kedai tersebut pada pukul 5 petang sebelum pulang ke rumahnya di Padang Hiliran di sini.
“Saya terus ke kedai selepas dimaklumkan kejadian itu dan mendapati api marak. Saya tidak sempat menyelamatkan barangan kemas yang disimpan dalam kedai.
“Kedai emas tersebut milik keluarga ini beroperasi di Kampung Cina sejak 25 tahun lepas,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Cham Lau Wee, 53, berkata, dia sedih apabila rumah pusaka milik keluarganya yang berusia lebih 60 tahun musnah dalam kebakaran itu.
Katanya, rumah tersebut diduduki empat ahli keluarga, namun mereka tiada di rumah ketika kejadian.
“Saya tak sempat selamatkan apa-apa termasuk tiga motosikal dalam rumah sebab masa saya sampai api telah marak,” katanya. – UTUSAN