JOHOR BAHRU: Kumpulan rock Search antara artis popular yang membuat persembahan dalam konsert sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Daerah Mersing 2022, malam esok.
Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali berkata, konsert berkenaan dianjurkan bertujuan untuk mempromosikan Mersing sebagai daerah pelancongan dalam negeri ini.
Menurutnya, konsert di Stadium Mini Mersing itu bermula pukul 8.30 malam dengan kemasukan percuma.
“Selain kumpulan Search, konsert itu akan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan tarian Keluarga Malaysia. Juga artis jemputan lain Azlee Senario, Azman Naim, 44 Mantara dan Bandi Amuk.
“Kemuncak persembahan adalah pertunjukan bunga api yang akan dipertontonkan bagi menghargai para pengunjung yang hadir pada malam tersebut,” katanya di sini hari ini.
Mohammed Shakib berkata, festival itu juga bertujuan menggerakkan kembali industri seni dan penglibatan penggiat seni dalam fasa endemik, sekali gus menjana ekonomi negara, khususnya di Mersing.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Malaysia dan Festival Mersing 2022 di daerah Mersing.
Untuk mendapatkan maklumat berkaitan festival ini, orang ramai diminta menghubungi Pejabat Daerah Mersing menerusi talian 07-7991121 ataupun melayari laman Facebook rasmi Pejabat Daerah Mersing.
Mohammed Shakib turut meminta pengunjung dan orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.
“Para pengunjung juga diingatkan agar menjaga tingkah laku semasa festival dan konsert berlangsung bagi mengurangkan risiko berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN