Saya tidak pernah keluarkan perkataan sebegitu - Zulkifli

Saya tidak pernah keluarkan perkataan sebegitu – Zulkifli

TANGKAP layar portal berita antara Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Idris Ahmad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya tidak pernah keluarkan perkataan sebegitu. Itu laras bahasa yang amat buruk,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sebuah artikel dikeluarkan sebuah portal berita yang dilihat cuba melaga-lagakan dirinya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Zulkifli berkata, kenyataan daripada portal berita itu secara jelas bertujuan mengeruhkan keadaan dan mencipta situasi yang sama sekali tidak wujud. 

“Pembaca boleh menilai dan jelas sama sekali saya tidak mengeluarkan perkataan sebegitu kepada beliau. 

“Malah, bukanlah pendekatan dan cara saya untuk membodohkan sesiapa walaupun kepada pihak yang saya tidak setujui,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Justeru, beliau minta portal berita itu menurunkan segera artikel tersebut daripada portal mereka.

Jelasnya lagi, semua pihak yang terlibat dalam usaha politik kotor ini perlu berhenti segera tindakan keji sebegini kerana politik yang mengenepikan akhlak dan agama adalah politik yang hina dan kotor. 

“Malaysia akan kekal di takuk yang sama jika permainan politik rendah akal sebegini terus dimainkan,” katanya.

Katanya, Idris adalah sahabatnya, malah sesiapa sahaja yang beliau kenali akan dianggap sebagai sahabat dan rakan tanpa mengira latar belakang politik. 

Baru-baru ini, sebuah portal berita dikenali Negara Merdeka mengeluarkan satu artikel bertajuk ‘Buka aib bapa, bekas Menteri Agama PN anggap Idris bodoh’ di portal berita itu pada 7 September lalu.

Artikel itu dikeluarkan susulan kenyataan Zulkifli berhubung tindakan seorang pelakon remaja, Puteri Balqis mendedahkan perbuatan tidak senonoh bapanya di media sosial baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN