IPOH: Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris kepada dua pekerja kuari yang dipercayai tertimbus runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai dekat sini akan diambil dalam masa terdekat bagi proses pengesahan identiti.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sampel DNA itu akan diambil setelah selesai saki-baki tulang kedua-dua mangsa dibawa keluar dari lokasi runtuhan tersebut.
“Setakat ini waris belum hadir untuk berikan sampel, kita akan panggil mereka selepas proses membawa keluar semua rangka tulang selesai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, pasukan mencari dan menyelamat menemukan beberapa cebisan rangka tulang manusia dan dua jengkaut di tapak kuari tersebut sejak kelmarin.
Katanya, dalam operasi yang dijalankan semalam juga, beberapa lagi cebisan tulang dipercayai milik mangsa kedua ditemukan bersama stokin dan kasut.
“Penemuan terbaharu itu ditemukan daripada bangkai jengkaut kedua yang masih tertimbus runtuhan batu. Kesemua objek tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti,” katanya.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke HRPB untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN