Saman PKR terhadap Zuraida dibicara

Saman PKR terhadap Zuraida dibicara

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Saman Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamarudin kerana didakwa melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu, akan didengar meritnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketetapan itu dicapai ekoran keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan Zuraida agar saman terhadapnya dibatalkan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk M. Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya memerintahkan Zuraida membayar kos RM10,000.

Zuraida mempunyai satu lagi peluang untuk mengetepikan keputusan itu dengan memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Dalam keputusannya, Hakim Vazeer Alam berpuas hati bahawa isu kesahan dan kesahihan kontrak di antara Zuraida dan PKR hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh.

Mahkamah berpendapat, hakim bicara perlu mendengar keterangan penuh sama ada melalui dokumen atau secara lisan (viva voce) sebelum menentukan isu kontrak yang dibangkitkan.

Sehubungan itu, panel tersebut berpendapat Mahkamah Tinggi betul ketika memutuskan isu kesahan kontrak tidak sesuai untuk dibatalkan.

Mahkamah sebelum itu mendengar penghujahan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Zuraida manakala Ranjit Singh bagi pihak Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Zuraida merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 November 2021 yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman PKR yang menuntut beliau membayar ganti rugi RM10 juta.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendapati wujud isu yang boleh diputuskan dalam tuntutan saman tersebut.

“Tuntutan saman ini bukanlah suatu tuntutan yang ‘biasa’ yang boleh dibatalkan begitu sahaja. Wujud kausa tindakan yang jelas terhadap defendan iaitu isu berkaitan bon yang ditandatanganinya yang perlu diperjelas dalam perbicaraan penuh.

“Defendan perlu memberi keterangan kenapa beliau menandatangani bon itu dan apakah tujuan ia ditandatangani serta sama ada terdapat syarat-syarat tersirat. Oleh itu, perlunya keterangan saksi kedua-dua pihak untuk menjelaskan tujuan bon itu dilaksanakan.

Pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 Sept 2020 mendakwa Zuraida telah menandatangani bon yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.

PKR turut menuntut agar Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya