KUANTAN: Rundingan agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) antara parti gabungan Perikatan Nasional (PN) Pahang dijangka diputuskan selewat-lewatnya 15 September ini.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keputusan agihan rundingan kerusi PN perlu segera diselesaikan untuk dibawa ke majlis tertinggi gabungan itu dan dimuktamadkan.
Menurutnya, namun begitu walaupun agihan kerusi melibatkan tiga parti komponen PN iaitu Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan, namun pintu rundingan dengan parti lain masih dibuka.
“PN Pahang tidak pernah menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak kerana yang penting pada kita ialah ada gabungan parti yang kuat, apa-apa pun keputusan tentulah akan dibuat majlis tertinggi.
“Macam Pas dengan UMNO di Pahang sebelum ini ada persefahaman dalam Muafakat Nasional (MN), kita (Bersatu) kata teruskanlah, sebab di Pahang kita tidak bergaduh dengan mana-mana parti. Sebab itulah saya kata PN Pahang masih terbuka menerima kerjasama dengan mana-mana pihak, cuma jika pucuk pimpinan arah bincang kami akan bincang,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chai, Air Putih di sini hari ini.
Mengulas lanjut perkembangan PN di Pahang, Saifuddin berkata, mereka telah sepakat untuk melantik ketua badan perhubungan kawasan bagi 14 Parlimen di negeri ini.
Jelasnya, daripada 14 kawasan itu, tujuh diketuai Pas, enam diketuai Bersatu dan satu lagi kawasan diketuai Gerakan.
“Semalam kami bermesyuarat di Kerdau di Temerloh dan pelantikan itu sudah selesai, cuma tunggu watikah (pelantikan) yang dijangka ditandatangani Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 7 September ini.
“Pelantikan itu tidak bermaksud itulah wakil kerusi Parlimen yang akan bertanding. Kerusi itu cerita kemudian dan sedang dalam rundingan, namun mereka ini dilantik untuk memastikan jentera PRU15 dapat digerakkan dengan lebih sistematik.
“Melalui jawatankuasa ini, ketua badan perhubungan dapat mengadakan mesyuarat bagi membincangkan soal agihan kerusi supaya rundingan bagi perkara itu dapat diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan,” katanya. – UTUSAN