Rumah kenangan bersama arwah isteri musnah terbakar

Rumah kenangan bersama arwah isteri musnah terbakar

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran rumah milik Ibrahim Kadir di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan hiba seorang bapa tunggal ketika menyaksikan sendiri rumah yang didudukinya hampir 42 tahun bersama arwah isteri, musnah terbakar dalam kebakaran pada malam Selasa lalu.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Ibrahim Kadir, 65, berkata, semasa kejadian, dia baru pulang dari menunaikan solat di masjid berdekatan di Jalan Bunga Kertas, Kampung Belimbing Dalam di sini.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana kebakaran kira-kira pukul 8.30 malam tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa, memandangkan ketika itu anak lelakinya berada di rumah.

“Balik dari masjid saya tengok rumah sudah musnah terbakar, semua barang musnah dan tidak dapat diselamatkan, termasuk duit simpanan anak.

“Saya terkejut melihat rumah yang diduduki sejak 42 tahun dan menyimpan banyak kenangan bersama arwah isteri tercinta musnah begitu sahaja.

“Apa yang saya sedih bukan kerana barang-barang elektrik atau wang, tetapi rumah ini banyak kenangan kami sekeluarga terutama bersama arwah isteri yang meninggal dunia dua tahun lalu kerana sakit jantung,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, anak Ibrahim, Shahrul Nizam, 29, berkata, kebakaran bermula selepas dia mendengar letupan kecil yang berlaku antara dapur dan bilik adiknya.

“Bila pergi periksa saya nampak api sudah marak naik ke atas bumbung. Saya cuba padam kebakaran dengan bantuan penduduk kampung tetapi sukar kerana api merebak sangat cepat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Fadhil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan kebakaran itu pada pukul 8.45 malam.

“Kebakaran dapat dikawal pukul 9.08 malam dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya