KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah masih dalam keadaan terkejut dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas disabit bersalah atas pertuduhan rasuah.
Perkara itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh dalam sidang media selepas mahkamah memutuskan beliau bersalah.
Peguam itu berkata, beliau juga berasa sedih dengan keputusan tersebut tetapi pihaknya tidak akan membuang masa untuk mengemukakan rayuan.
“Kami akan mengemukakan notis rayuan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan kami akan mula memfailkannya secepat mungkin.
“Proses rayuan ini bergantung pada pentadbiran mahkamah untuk menyediakan rekod rayuan serta bukti. Saya jangkakan ia mengambil masa sekitar enam bulan tetapi tiada ketetapan untuk hal ini.
“Sudah tentu anak guam kami berada dalam terkejut dan sedih dengan keputusan ini. Dia tidak menjangkakan perkara ini,” katanya.
Jagjit bagaimanapun bersyukur Rosmah masih boleh balik ke rumah untuk bersama dengan keluarga sementara menunggu rayuannya.
Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mensabitkan kesalahan terhadap Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak. – UTUSAN