KUALA LUMPUR: Walaupun telah didapati bersalah bagi kes meminta dan menerima rasuah, Datin Seri Rosmah Mansor masih perlu berhadapan dengan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.
Ini kerana, bekas Wanita Pertama Malaysia itu masih mempunyai satu lagi kes di hadapan hakim itu yang masih belum dibicarakan sehingga kini bagi memberi laluan kepada kes rasuah tersebut.
Kes tersebut membabitkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut ketika didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini.
Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 30 November 2018.
Bagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.
Sementara itu, pertuduhan membabitkan kegagalan mengemukakan penyata cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 didakwa dilakukan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN