Rokok seludup bernilai RM2 juta dirampas di lampu isyarat

Rokok seludup bernilai RM2 juta dirampas di lampu isyarat

ROKOK yang disyaki tiada duti kastam dirampas selepas pihak polis menahan sebuah lori di lampu isyarat simpang empat, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Polis menggagalkan kegiatan penyeludupan rokok dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM2 juta di lampu isyarat simpang empat, Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan dan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan, Bukit Aman menahan sebuah lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an kira-kira pukul 1.30 pagi.

Hasil pemeriksaan di dalam ruangan belakang lori tersebut telah menjumpai 131 kotak besar rokok putih dan 92 kotak besar rokok kretek yang disyaki tiada duti kastam.

Menurutnya, rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara luar melalui jalan laut untuk pasaran tempatan. 

“Seorang lagi lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 20-an turut ditahan kerana disyaki menjadi tonto. Lelaki itu yang menaiki kereta Vios telah datang selepas pihak polis menahan lori tersebut. 

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2,006,100 termasuk nilai rampasan rokok dianggarkan RM1,906,100.

“Polis Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai harga barang atau RM100,000, yang mana jumlah lebih tinggi.

Di bawah seksyen sama juga boleh didenda tidak lebih 20 kali ganda nilai harga barang atau RM500,000, yang mana jumlah lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya