MELAKA: Seorang penyelia syarikat pelaburan dijatuhi hukuman penjara 426 tahun dan 240 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak kandungnya sejak tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan hukuman penjara itu berjalan serentak dan berperingkat dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 September 2022, lantas menjadikan hukuman keseluruhan berjumlah 45 tahun dan maksimum 24 sebatan.
Hakim Nariman Badruddin membuat keputusan itu selepas mempertimbang pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, fakta kes, keterangan impak mangsa serta hujah pendakwaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang berusia 56 tahun itu melakukan tindakan jijik berkenaan di kediamannya di dalam daerah Melaka tengah sejak kedua-dua mangsa berusia 12 tahun.
Tertuduh turut menggunakan alat mainan seks terhadap mangsa selain berani melakukan perbuatan terkutuk itu ketika isterinya berada di rumah.
Perbuatan itu terbongkar selepas isterinya melihat tertuduh sedang merogol anak keduanya dalam sebuah bilik pada 5 September 2022.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon hukuman berat dengan tempoh pengasingan yang lama dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh yang didakwa atas 28 pertuduhan itu merayu mahkamah mengambil kira keadaan kesihatannya yang merosot, selain telah insaf dan mendakwa keluarganya sudah memaafkan perbuatannya berkenaan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret kerana mengugut untuk membunuh isteri dan anak-anaknya.
Majistret Mazana Sinin mengarahkan hukuman tersebut berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen di sini atas 28 pertuduhan membabitkan kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak kandungnya, sejak tujuh tahun lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. – UTUSAN