BUTTERWORTH: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di sini tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas menerima surat tawaran untuk kembali bersekolah daripada Jabatan Pendidikan negeri, semalam.
Malah, S. Tharmarhaja yang akan memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Kastam sudah mula berkongsi keterujaan itu dengan rakan-rakannya yang lain khususnya menerusi kumpulan aplikasi media sosial WhatsApp.
“Saya sangat gembira kerana berpeluang belajar semula selepas terpaksa meninggalkan alam persekolahan sejak Januari lalu akibat masalah kewangan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu meringankan beban kami sekeluarga dan menguruskan kemasukan sekolah untuk saya dan adik-adik,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Ampang Jajar, di sini, semalam.
Surat tawaran persekolahan kepada Tharmarhaja itu diserahkan Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Zulkafli Kamaruddin dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.
Selain surat tawaran persekolahan, remaja terbabit turut menerima bantuan berupa kelengkapan persekolahan termasuk pakaian sekolah dan alat tulis bagi membolehkannya memulakan sesi persekolahan kelak dengan sempurna.
Selain Tharmarhaja, dua adiknya, Herash,10, dan Yoshwin, 8, turut akan kembali bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal dekat sini.
Akhbar sebelum ini melaporkan kisah keperitan keluarga itu yang hidup dalam serba kekurangan selepas rumah sewa mereka di Jalan Mohd. Saad, Bagan Jermal terbakar, Mei tahun lalu.
Lebih memeritkan, tiga anak T. Mogana Selvi, 39, terpaksa berhenti kerja sejak awal tahun ini akibat dihimpit masalah kewangan manakala anak keduanya, Teyanayagi yang juga orang kurang upaya (OKU) masih belajar di Pusat Tunas Harapan (Pektas) di Mak Mandin tajaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – UTUSAN