PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga diraja Britain susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Menurut Istana Negara, pemerintah monarki Britain yang paling lama bertakhta dan tertua di dunia itu akan diingati oleh Seri Paduka berdua, kerajaan dan rakyat Malaysia atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada negara Komanwel dan usaha baginda menggalakkan hubungan yang lebih kukuh antara United Kingdom (UK) dan Malaysia.
Jelas Istana Negara, Ratu Elizabeth II juga akan dikenang atas dedikasinya kepada rakyat dan kerajaan UK serta keprihatinan baginda yang mendalam terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Seri Paduka berdua turut sama berduka bersama-sama ahli keluarga diraja Britain dan rakyatnya dalam momen kesedihan ini dalam meratapi kehilangan Ratu Elizabeth II,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengimbau kenangan bertemu Ratu Elizabeth II, Istana Negara menambah, Seri Paduka berdua berkenan mengadakan kunjungan hormat dan menghadiri majlis makan tengah hari bersama pemerintah UK itu di Istana Buckingham, London pada 13 Disember 2019.
“Kunjungan hormat dan jamuan tengah hari itu adalah sempena lawatan khas tujuh hari Seri Paduka ke England, yang berakhir pada 9 Disember 2019.
“Ratu Elizabeth II semasa pemerintahannya juga pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali; pada 1972 (Lawatan Khas), 1989 (mesyuarat Ketua Negara Komanwel ke-11) dan 1998 (Sukan Komanwel ke-16),” jelasnya.
Terdahulu, Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun selepas dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’, sejak hujung tahun lalu.
Baginda mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral, Scotland, selepas 70 tahun memegang takhta. – UTUSAN