SHAH ALAM: Amalan rasuah di negara ini berapa pada skala membahayakan berdasarkan teguran dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, semua pihak tidak boleh memandang ringan, leka dan memikirkan justifikasi dengan segala helah mahu menindakkan kewujudan gejala rasuah di depan mata.
Titah baginda, penilaian keadaan rasuah itu wajib dilakukan secara jujur, ikhlas dan serius untuk mahu membendung serta menghapuskannya.
“Kita wajib bersifat berani mengakui, realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan berulang kali teguran yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan PAC,” titah baginda ketika berkenan melancarkan buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu di sini, semalam.
Sultan Nazrin bertitah, aduan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelbagai agensi perlu dijadikan cermin atau petunjuk situasi rasuah.
“Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan rakyat akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau sekadar melepaskan batok di tangga. Sifat responsif dan segera melakukan pembetulan bukan saja membendung salah laku tadbir urus, malah meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
“Penilaian oleh Transparency International menunjukkan Malaysia kini di kelompok kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50,” titah baginda.
Titah Sultan Nazrin, rasuah ditakrifkan sebagai perbuatan salah guna kuasa untuk memberikan kelebihan kepada individu yang diamanahkan mentadbir urus sumber awam.
“Rasuah antara sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat mendapat perkhidmatan serta mendorong ketidakstabilan politik.
“Akibat rasuah, ada negara terbenam dalam kemelut kemunduran dan kemiskinan terus merebak. Apabila tiada kesungguhan membanterasnya, ia akan diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya sebelum memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda.
Justeru, baginda bertitah, negara yang dilanda mudarat akibat gejala rasuah memerlukan lebih ramai murabbi untuk tampil menggemakan mesej memeranginya secara lebih berani.
“Para murabbi perlu menegaskan soal kepentingan ummah memiliki sifat-sifat ikhlas yang tidak akan dapat didampingi atau dipengaruhi oleh iblis,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah perlu memiliki semangat kental seperti para pemuda Ashabul Kahfi yang gigih mempertahan iman meskipun menghadapi pemerintah zalim.
“Dalam usaha melaksanakan perjuangan murni, yakin dan percaya kepada kebesaran kuasa Ilahi selain menghadapi ujian dengan hati cekal. Semaikan kesedaran dan bina kekuatan. Tumpukan usaha kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya,” titah baginda. – UTUSAN