IPOH: Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen negeri masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tujuh tahun lalu.
Zulhairin Yahya, 50, dan Zaidi Dali, 54, turut berhadapan hukuman penjara 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hakim S. Indra Nehru yang membuat keputusan di akhir kes pembelaan bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, Zulhairin dan Zaidi masing-masing didakwa meminta wang RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek untuk memastikan Jabatan Imigresen tidak melakukan pemeriksaan dan serbuan terhadap pusat hiburan The Bos KTV di Pusat Bandar Seri Manjung.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di sini kira-kira pukul 9 malam, 5 November 2015.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Zulhairin juga didakwa menerima RM7,000 daripada individu sama di Restoran Knock Knock Meru Raya di sini pada pukul 12.05 tengah malam, 11 November tahun sama.
Zaidi turut dituduh menerima suapan RM7,000 daripada individu sama di tempat letak kereta Meru Valley Golf and Country Club di sini pada pukul 9.55 malam, 11 November tahun sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman sama.
Bagi pertuduhan bersama, Hakim Indra Nehru menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 ke atas kedua-dua tertuduh manakala penjara tiga tahun dan denda RM35,000 masing-masing bagi tuduhan kedua.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini. Mahkamah juga mengekalkan jaminan RM30,000 ke atas kedua-dua tertuduh seperti yang diputuskan Mahkamah Sesyen lima tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala Zulhairin diwakili Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim sementara Zaidi diwakili Zamri Idrus dan Mohd. Fadly Hashim.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menutup kesnya dengan memanggil 19 saksi manakala lima saksi di pihak pembelaan. – UTUSAN