PETALING JAYA: Orang ramai memilih Thailand sebagai destinasi pelancongan pilihan luar negara kerana tidak memerlukan modal besar berbanding bercuti di sesetengah tempat di negara ini.
Dakwa mereka, ini kerana kos percutian dalam negara lebih membebankan terutama kos penginapan dan barangan yang dijual terlampau mahal.
Tinjauan Utusan Online di laman sosial mendapati, seorang warganet, Nor Fazila berkata, biarpun tukaran duit di negara itu lebih mahal, segalanya masih murah apabila berada di sana.
Malah, katanya, kos perkhidmatan, makanan dan penginapan di sana lebih berkualiti dan bertaraf lima bintang walaupun harga yang ditawarkan masih murah.
“Seronok bercuti di sana. Hotel RM80 sudah lawa sangat. Makan lima orang penuh meja, dengan sotong, udang, ikan siakap, tomyam seafood daging merah tak sampai RM100,” katanya.
Dia memberikan reaksi itu susulan laporan yang menyifatkan trend bercuti ke luar negara menyaksikan lebih banyak aliran keluar mata wang ringgit Malaysia (RM) dibimbangi memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang.
Hal itu didorong apabila ramai rakyat Malaysia kini mengambil kesempatan bercuti ke Thailand berbanding memanfaatkan masa yang ada untuk sektor pelancongan domestik di negara ini.
Dalam keadaan nilai ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$), ini bukanlah satu petanda baik selain 100 baht kini hanya bernilai RM12.32, semakin rendah.
Dalam pada itu, seorang netizen, Hamzali Yahaya berkata, dia akan membawa keluarganya bercuti ke Thailand setiap kali musim cuti persekolahan kerana harga makanan yang murah dan tidak sesak.
Katanya, kos penginapan juga sangat murah berbanding bilik sama jika pergi ke hotel atau resort di negara ini yang sama tarah bintangnya.
“Terbaharu saya stay di Holiday Aonang Villa, Krabi. Saya pilih bilik yang boleh akses kolah. Bilik ini untuk tiga hari dua malam adalah RM450 dan bilik memang besar.
“Di Krabi, kita dapat lihat pengusaha hotel bersaing bagi servis dan fasiliti terbaik untuk pelancong, cuma elakkan pergi waktu Thailand cuti, sedikit mahal namun masih murah,” katanya.
Bagi, Mimi Noli pula, luar negara adalah satu destinasi pilihan terbaik.
“Malaysia sibuk dengan kes mahkamah, politik dan selebriti. Kehidupan tak stabil. Sampai bila mahu tunggu ringgit naik? Duit rakyat habis pada pemimpin sahaja. Penatlah mahu mengharap bantuan pinjaman.
“Sekarang sudah sibuk mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Entah apa-apa. Malaysia tak pernah merdeka,” katanya.
Dalam pada itu, Sally Akop pula mengharapkan, pihak bertanggungjawab dapat melakukan penambahbaikan terlebih dahulu kepada tempat-tempat pelancongan dalam Malaysia.
“Dalam Malaysia banyak yang sangat cantik, tetapi boat yang bawa ke sana kena banyak penambah aikan terutama dari segi keselamatan dan layanan,” ujarnya. – UTUSAN